|
|
|
|
Halaman Aduan Dan Pertanyaan -->
- Soalan 1
- Soalan 2
- Soalan 3
Anita Ali (Bukan Nama Sebenar)
Seremban.
Saya mempunyai seorang anak perempuan yang dilahirkan diluar pernikahan yang sah. Sekarang ini berusia 4 tahun. Dan sekarang saya telah berkahwin dengan
seorang lelaki lain, bukan bapa kepada anak ini, masalahnya:-
Penyelesaian:-
1.
Bolehkah anak ini dibintikan kepada lelaki tersebut?
Setiap anak
yang dilahirkan di luar daripada perkahwinan tidak boleh dibin atau
dibintikan kepada lelaki itu, sekalipun puan berkahwin dengan lelaki
tersebut. Ini kerana anak yang dilahirkan tiada dinasabkan kepada
lelaki tersebut, kerana ianya adalah hasil perzinaan. Dan anak
perzinaan hanya dinasabkan kepada ibunya.
Di dalam
masalah ini, Bahagian Pendaftaran Kelahiran (Jabatan Pendaftaran
Negara) biasanya akan menentukan status anak ini samada boleh atau
tidak ianya dibin atau bintikan kepada suami puan. Ianya adalah
bertujuan untuk mengelakkan ianya daripada dibangkitkan di kemudian
hari seperti soal perwarisan atau perwalian. Lumrah kebiasaannya,
anak-anak ini akan dibin atau bintikan kepada ‘Abdullah’ sahaja.
2.
Bagaimana Mahkamah menentukan seseorang itu samada anak luar nikah
mahu pun tidak?
Dalam menentukan taraf seseorang samada
dia adalah anak sah taraf mahupun tidak terdapat berbagai cara
digunakan oleh Mahkamah. Antaranya melalui pengakuan ibu kepada anak
tersebut, iaitu pengakuannya bahawa telah melakukan perzinaan
sedangkan pada masa tersebut dirinya belum lagi berkahwin. Kemudian
terdapat lagi keadaan yang mampu di pegang iaitu hal keadaan diri si
ibu semasa belum berkahwin samada peredaran datang darah kotornya
teratur mahupun sebaliknya. Ataupun dirinya dalam tempoh tertentu
tidak datang bulan. Ataupun si ibu ada mendapatkan pengesahan doktor
bahawa dirinya telah mengandung dan berbagai lagi keadaan. Hal ini
sebenarnya direkodkan berdasarkan kepada pengakuan ibu kepada anak
tersebut, yang mana daripada keterangannya boleh membuatkan samada
Mahkamah yakin bahawa anak tersebut diluar nikah mahupun sebaliknya.
Kemudian
Mahkamah juga menggunakan kaedah kiraan bulan seseorang ibu itu
mengandung. Idea seorang mengandung adalah sembilan bulan 10 hari.
Mengikut peruntukan bahawa seseorang yang dilahirkan dalam tempoh enam
bulan dari tarikh perkahwinan hingga 4 tahun adalah anak sah taraf,
maka jika berlaku sebaliknya adalah anak diluar perkahwinan (tak
sahtaraf). Peruntukkannya berbunyi: “Jika seoeang perempuan yang
berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih 6
bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa 4 tahun
qamariah selepas perkahwinannya …. , maka lelaki itu hendaklah
disifatkan sebagai bapa anak itu …”
3.
Bagaimana nafkah anak ini, adakah bapanya bertanggungjawab. Sebabnya
sekarang saya yang menanggungnya sendiri. Ataupun siapa sebenarnya
yang patut memberinya nafkah?
Anak sebegini
tiada berbapa, maka di dalam masalah nafkah untuknya, puan yang wajib
menyaranya sendiri. Tanggungjawab ini tidak akan teralih kepada suami
atau bapanya, sebagaimana anak-anak yang dilahirkan di dalam tempoh
perkahwinan.
Di dalam undang-undang Islam yang
diamalkan, anak diluar nikah ditakrifkan di dalam seksyen 2(1) sebagai
‘anak tidak sah taraf’ yang bermaksud anak yang dilahirkan di luar
nikah dan bukan dari anak persetubuhan syubhah.
Dinyatakan oleh seksyen 80(1) bahawa ibu
yang bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak luar nikah,
bukan suami atau bapanya, hal ini termasuklah jika sekiranya si ibu
itu gagal atau enggan untuk memberi nafkah, maka Mahkamah berkuasa
untuk memerintahkannya memberi nafkah, sebagaimana peruntukannya
berbunyi“Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah
seseorang anaknya yang tak sah taraf (yang tidak berupaya menanggung
nafkah dirinya), mahkamah boleh memerintahkan perempuan itu memberi
apa-apa elaun bulanan.” Namun biasanya mana-mana ibu yang mempunyai
anak di luar nikah tidak akan melakukannya, dan peruntukkan ini tidak
pernah dibangkitkan.
4.
Bagaimana kelak jika dia mahu bernikah?
Satu lagi masalah yang akan timbul iaitu
masalah perwalian. Di mana anak ini jika perempuan, maka perlulah dia
memohon supaya bernikah dengan menggunakan wali hakim. Permohonan
nikah berwali hakim perlulah dibuat kepada mana-mana Mahkamah Syariah
yang berhampiran dengan tempat puan tinggal ataupun di mana anak ini
dilahirkan.
Wali Hakim
ditakrifkan di bawah seksyen 2(1) iaitu “wali yang ditauliahkan oleh
Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk menikahkan perempuan yang tidak
mempunyai wali.” dan seksyen 7(6) pula menyatakan “Jika sesuatu
perkahwinan itu melibatkan seseorang perempuan yang tiada mempunyai
wali dari nasab mengikut Hukum Syarak perkahwinan itu hendaklah
diakadnikahkan oleh Wali Hakim.”
|
| |
Sukirman Tahir (Bukan Nama Sebenar)
Bukit Mor, Muar.
Saya telah mengikat pertunangan dengan seorang gadis, di mana keluarga
kedua-dua belah pihak bersetuju dan telah menetapkan tarikh pernikahan
kami. Malangnya, pihak gadis ini telah memutuskan pertunangan tersebut
dan membatalkan pernikahan kami dengan tanpa ada sebab yang munasabah.
Hal in telah memberi tamparan buat diri saya dan keluarga, kami merasa
malu dan maruah saya tercabar, soalannya;-
Penyelesaian:-
1.
Apa yang perlu saya lakukan?
Kes berkaitan putus
tunang biasanya diselesaikan secara rundingan baik diluar Mahkamah. Di
mana pihak-pihak akan berunding dalam semua perkara, sebagaimana
rundingan peminangan dahulu. Oleh itu perlulah satu rundingan
dilakukan, dan anggap bahawa tiada jodoh antara kita dan dia dan ini
adalah dugaan.
Pada pengalaman
Mahkamah, terdapat banyak kes yang boleh diselesai di luar Mahkamah
tanpa membabitkan Mahkamah, termasuklah hal berkaitan pertunangan dan
pemutusannya. Perkara seumpama ini boleh dirunding secara baik oleh
kedua-dua keluarga. Namun sebalik jika pihak tuan enggan dan tidak
mampu membuat rundingan di luar Mahkamah, maka seksyen 15(1)
memberikan garis panduan dan cara bagaimana menyelesaikan masalah
berkaitan pertunangan ini.
Seksyen 15(1)
menjelaskan bahawa:“Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan
mengikut Hukum Syarak, samada secara lisan atau bertulis, dan samada
secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya
enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab
yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya,
maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan
pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar
apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk
pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu dan
yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.
2.
Bagaimana dengan barang-barang yang telah
saya hantar dan barang-barangnya yang ada pada saya? Kerana pemutusan
pertunangan ini hanya melalui telefon dan saya tidak berjumpa untuk
memulangkan balik barang-barangnya.
Tuan berada ditempat pihak yang dimungkiri, maka mengikut kehendak
seksyen 15(1) di atas, pihak tuan berhak untuk mendapatkan semula
barang-barang yang telah diserahkan kepada pihak perempuan. Malah jika
sekiranya barang-barang tersebut sudah tiada, pihak tuan berhak
mendapatkan nilaian barang tersebut. Ini akan ditaksirkan oleh pihak
Mahkamah berdasarkan harga pada masa tersebut. Maka jumlah taksirannya
akan diperintahkan kepada pihak perempuan untuk membayar kepada pihak
tuan.
Satu perkara lagi, pihak tuan juga berhak untuk memohon dan
mendapatkan kembali wang perbelanjaan yang telah dibelanjakan dahulu,
di mana pihak tuan dengan suci hati mengganggapkan bahawa pertunangan
yang dijalankan adalah dengan keikhlasan dari kedua belah pihak
keluarga, maka banyak wang telah dibelanjakan. Maka ianya boleh
dituntut di mahkamah.
Satu perkara yang
perlu diambil perhatian di sini apabila kes ini difailkan di Mahkamah,
perlulah pihak yang menuntut ini memastikan bahawa punca putus
pertunangan adalah bukan dari pihak tuan, sebaliknya dari pihak
perempuan. Sekalipun putus tunang oleh pihak perempuan, sebab dan
puncanya mungkin dari pihak tuan. Jika ini berlaku berkemungkinan apa
yang dituntut sukar dibenarkan. Contohnya; tuan mengambil dadah dan
ditahan di Pusat pemulihan dan pihak perempuan memutuskan pertunangan
disebabkan tidak sanggup bersama dengan seorang penagih dadah, maka
jika dalam situasi ini penyebabnya adalah dari diri tuan jua. Ataupun
jika seseorang lelaki didapati positif HIV dalam pemeriksaan kesihatan
sebagaimana yang dilakukan di Johor, maka jika pihak perempuan
membatalkan pertunangan, maka ianya bukanlah kesalahan yang berpunca
dari pihak perempuan. oleh itu, dalam dua situasi yang digambarkan di
dalam contoh di atas didapati bahawa pihak lelaki adalah menyebabkan
pertunangan tersebut terputus, bukan dari pihak perempuan. Maka pihak
lelaki yang perlu memulangkan semula barang hantaran.
|
| |
Milah Latip (Bukan Nama Sebenar )
Kuala Lipis,
Pahang.
Saya berusia
15 tahun dan tidak bersekolah lagi. Saya bercadang untuk berkahwin
dengan seorang lelaki. Kedua-dua belah keluarga tiada halangan
terhadap perkara ini. Boleh pihak tuan terangkan bagaimana caranya
proses permohonan untuk berkahwin di bawah umur dan apakah perkiraan
yang diambilkira oleh Mahkamah dalam menentukan lulus atau gagal
permohonan ini?
Penyelesaian:-
Seksyen 8
undang-undang keluarga memperuntukkan bahawa “Tiada sesuatu
perkahwinan boleh diakadkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu
berumur kurang daripada 18 atau perempuan itu berumur kurang daripada
16 tahun kecuali jika Hakim Syar’ie telah memberi kebenarannya secara
bertulis dalam hal keadaan tertentu.”
Dalam peruntukkan di atas dengan jelas menyebutkan had umur bagi
setiap golongan yang mahu berkahwin. Dimana telah ditetapkan had umur
bagi lelaki adalah 18 tahun ke atas dan perempuan pula berumur paling
kurang 16 tahun. Jika umur pasangan adalah kurang daripada umur yang
dijelaskan, maka pernikahan yang dicadangkan perlulah kepada kebenaran
dan keizinan Hakim Syar’ie.
Sebagai
panduan, diringkaskan dibawah ini langkah-langkah yang perlu diikuti
bagi membuat permohonan bernikah di bawah umur, tidak kira pemohonan
dari lelaki mahupun perempuan. Pertama, pemohon perlu membuat aduan di
Bahagian kaunseling (perkahwinan) Pejabat Agama. Pegawai yang
dipertanggungjawabkan akan mengambil butiran keseluruhan berkaitan
perkahwinan yang dicadangkan itu. Ini termasuklah keperluan untuk
perkahwinan, perwalian, pra syarat untuk bernikah dan sebagainya.
Sesudah itu satu laporan akan dikemukakan dan serahkan kepada pemohon
(pada hari yang sama) untuk difailkan di Mahkamah berkaitan kelayakan
yang berhubungan dengan bidangkuasa Mahkamah, contohnya pemohon adalah
dibawah umur.
Kedua, Dalam menerima permohonan ini,
pegawai kaunter mahkamah akan memastikan pemohon memfailkan
permohonannya di dalam tiga salinan bersama lampiran-lampiran yang
diperlukan, iaitu:-
1. Sesalinan kad pengenalan;
2.
Sesalinan
surat beranak;
3.
Sesalinan dokumen yang berkenaan dengan kes.
Kes ini akan
ditetapkan pendengarannya pada satu hari lain yang terdekat dan
tarikhnya dimaklumkan kepada pemohon. Dalam pendengaran, mahkamah akan
membuat penilaian terhadap kes tersebut. Keterangan yang diperlukan
adalah dari pemohon dan ibubapanya. Perlu diingat, dokumen asal
perlulah dibawa sekali. Jika sebaliknya salah satu pihak di atas tidak
hadir maka berkemungkinan kes permohonan akan ditangguhkan kepada
tarikh lain, ianya sudah pasti merugikan pemohon.
Malah,
adakalanya juga mahkamah memerlukan keterangan dari calon (bakal)
suami/isteri. Ini bagi mendapatkan keterangan dan gambaran bahawa
permohonan yang dibuat adalah betul-betul perlu. Biasanya soalan dan
keterangan yang diperlukan adalah berkisar berkaitan permohonan dan
kepentingannya, iaitu apa kesan jika ianya diluluskan atau tidak
diluluskan. Antaranya kenapa perlunya permohonan untuk berkahwin ini
dibenarkan, respon dari ibubapa samada bersetuju, bersetuju secara
bersyarat mahupun menentang, dan berbagai lagi perkara lain yang akan
dipertimbangkan pada hari tersebut. Biasanya yang berlaku adalah
permohonan seumpama ini akan diluluskan tanpa bersyarat.
Kecuali jika
terhadap bantahan daripada ibubapa atau penjaga pemohon. Jika berlaku
penentangan, maka Mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan kepada
perkiraan yang terbaik buat kedua-dua pihak, walaupun pemohon
mempunyai alasan yang kukuh.
Selain itu, perkiraan yang selalu menjadi pertimbangan Mahkamah adalah hal keadaan pemohon dan reaksi ibubapa pemohon. Biasanya yang berlaku kepada pasangan perempuan apabila memohon untuk bernikah di bawah umur, pihak ini sudah terlanjur dan mengandung, ibubapa tidak mampu menjaga anak perempuannya kerana terlalu liar, ataupun pemohon perempuannya sudah bersedia untuk memasuki alam perkahwinan dan berbagai lagi alasan yang diterima oleh Mahkamah dalam kes bernikah di bawah umur.
Manakala
alasan terhadap lelaki ialah sama seperti alasan pemohon perempuan di
atas tetapi situasinya hanyalah sebagai untuk bertanggungjawab sahaja.
Iaitu bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku terhadap
perempuan, mungkin mengandung atau sebagainya. Namun kes pemohon
lelaki untuk berkahwin di bawah umur agak jarang diterima berbanding
permohonan perempuan.
|
| |
|
|