|
Tuntutan Nafkah Anak
Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajipan orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah yang bermaksud:
"Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu, maka berilah upah mereka."
(At-Talak:6)
Dalam ayat yang lain Allah menerangkan:
"Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajipan demikian".
(Al-Baqarah:233)
Dari sebuah hadis yang diterangkan oleh Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Hindun pernah bertanya: "Ya, Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil, ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang ku ambil dari hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w. menjawab 'ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf".
(Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seseorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:-
-
Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga ia ada pekerjaan.
-
Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
-
Bapa itu mampu memberi nafkah.
Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka bapa tidak wajib lagi memberi nafkah untuk anak itu. Begitu juga jika anak itu mempunyai harta sendiri meskipun dia masih kecil, maka bapa tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya. Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha.
Kadangkala terdapat sepasang suami isteri mengambil anak angkat. Persoalan yang timbul ialah kedudukan nafkah anak angkat jika ibubapa angkat itu bercerai. Yang Arif Pemangku Kadi Besar Wilayah Persekutuan Haji Yahya Bin Darus (pada masa itu) ketika memutuskan kes Rokiah Lwn Mohamed Idris (1986, Jld. VI, 2 J.H.) menyatakan anak angkat tidak berhak mendapat nafkah dengan alasan, firman Allah yang bermaksud:
"Panggillah nama-nama mereka, anak-anak angkat itu dengan panggilan bapa-bapa mereka itu adalah lebih baik di sisi Allah."
(Al-Ahzab: 5)
Dengan bertukar binnya itu bererti tidak tertanggunglah ke tasa bapa angkat nafkah itu. Walau bagaimanapun dalam kes Rosnah Lwn Ibrahim (1979, Jld 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang Hj Harussani bin Hj Zakaria ketika memutuskan kes itu menyatakan anak angkat berhak mendapat nafkah dari bapa angkatnya selepas perceraian ibubapa angkat itu kerana anak angkat itu diambil dengan persetujuan ibubapa angkat itu. Anak angkat itu diambil ketika ia berumur satu hari.
|