|
Tuntutan Hadhanah
Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajipan ibu bapa, kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai berai?
Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, “Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya: “ Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu darpada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah s.a.w. menjawab.
Maksudnya:
“Engkaulah yang baik berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.
( Riwayat dan Abu Daud )
Hadis ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadis tersebut ternyata orang perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki. Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar d alam mengasuh anaknya daripada ayah. Demikian juga mempunyai masa yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak, berbanding dengan bapa yang selalu sibuk dengan tugas di luar.
Dalam kes Zawiyah lwn Ruslan (1980 Jld. 1,2 JH ) yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang Haji Harussani bin Hj Zakaria ( pada masa itu ) ketika memutuskan kes itu menyatakan anak-anak yang beum mumaiyyiz diserah kepada ibunya berdasarkan hujjah Kitab Kifayah al-Akhyar Juz 2 halaman 93 :
“Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu, maka isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur tujuh tahun ( mumaiyiz )”.
Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu mempunyai salah satu syarat seperti mana berikut:-
“Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaiatu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu”.
Ini bermakna anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya. Persoalan yang timbul ialah apakah had umur untuk menentukan mumaiyyiz itu? Sebenarnya Fuqaha' berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyyiz ini. walaubagaimanapun menurut kebiasaan, bagi lelaki yang telah mencapai umur tujuh tahun dianggap mumaiyyiz, manakala perempuan pula apabila berumur 9 tahun. Apabila pemeliharaan anak itu dimulai dari ibu, maka para Furqaha' mengambil kesimpulan bahawa kerabat dari ibu lebih berhak mengasuh daripada kerabat bapa. Jika ibu hilang kelayakan hak jagaan anak, maka anak itu diserah kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas ( butir-butir penuh lihat lampiran ‘A' ).
Dalam kes Rugayah lwn Bujang ( 1987 Jld. VI, i JH ) Yang Arif Kadi Besar Wilayah Persekutuan Syeikh Ghazali bin Haji Abd. Rahman telah memutuskan hak jagaan anak yang mumaiyyiz adalah diberi pilihan kepada anak-anak itu siapakah yang ia mahu sama ada tinggal dengan ibu atau bapa dengan berdasarkan sebuah hadis.
Maksudnya :-
“Bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyuruh seorang anak yang sudah mumayyiz supaya memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal”.
( Tirmizi dan Ibnu Majah )
Maksudnya :-
“ Hendaklah kamu berdua membuang undi tentang anak kamu, maka berkata suami perempuan itu siapakah yang boleh menentang saya mengenai anak saya ( bererti suami itu tidak bersetuju cara membuang undi ) lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh anak itu memilih di antara ibu atau bapa dengan sabdanya: “ Ini bapa engkau dan ini ibu engakau, pilihlah siapa antara keduanya yang engkau suka tinggal bersama”. Maka anak itu pun memilih ibunya dengan memegang tangan ibunya itu. Lalu perempuan itu pun membawa ananknya itu pulang bersama”.
( Abu Daud, Nasa'i Tirmizi )
Ini bermakna anak-anak yang mumaiyyiz diberi pilihan sendiri untuk menentukan siapa penjaganya, sama ada ibu atau bapa. Persoalan yang timbul ialah jika anak itu berdiam diri. Menurut kitab Fathul-Muin dalam fasal hadhanah menyatakan anak itu lebih utama diserahkan kepada ibunya.
Berdasarkan maksud Seksyen 84 ( 1 ) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, dianggap belum mumaiyyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah dari bayi hingga berumur 6 tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula dari bayi hingga berumur 8 tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur 9 tahun dianggap mumaiyyiz. Walau bagaimana pun dalam Seksyen 84 ( 2 ) keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana Mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak.
|