Syor Kampung Linau Kecil jadi santuari burung botak
Ditulis pada 18/05/2009 15:22:00BATU PAHAT: Nama Kampung Linau Kecil, di Bukit Pasir di sini, mungkin agak asing bagi penduduk di luar daerah ini, tetapi tidak mustahil satu hari nanti kampung itu akan menjadi sebutan ramai terutama kalangan pencinta burung seluruh dunia.
Kampung itu unik kerana ia dikenal pasti menjadi satu-satunya lokasi di negara ini yang menjadi persinggahan burung botak atau nama saintifiknya `Leptotilos Javanicus’ untuk bersarang dan membiak.
Justeru, ramai pihak termasuk penduduk kampung itu sendiri merayu supaya tanah seluas kira-kira 25 hektar di kampung itu diwartakan sebagai santuari burung botak, kerana selagi kerajaan tidak mewartakannya sebagai kawasan yang dilindungi, penduduk sukar untuk menghalang orang luar yang menceroboh kawasan pembiakan burung unik itu.
Penduduk sedar, tanah yang ditumbuhi pokok pulai yang menjadi kegemaran burung botak untuk bersarang itu milik individu tetapi mereka merayu supaya kerajaan negeri mencari kaedah untuk mewartakannya sebagai kawasan perlindungan burung itu.
Ketua Kampung Linau Kecil, Samsuri Ahmad, 68, berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah mengadakan mesyuarat dan mencapai kata sepakat untuk merayu kerajaan negeri supaya mewartakan tanah berkenaan.
Beliau bimbang, kemungkinan ada pihak akan menebang pokok pulai yang menjadi tempat burung bersarang, sekiranya tanah itu tidak diwartakan sebagai kawasan perlindungan hidupan liar.
“Tanah ini memang milik individu, tetapi ia terbiar sejak sekian lama sehingga ditumbuhi pokok pulai yang memang menjadi pilihan burung botak untuk bersarang dan kami merayu supaya kerajaan dapat mengambil tanah itu untuk diwartakan.
“Burung botak ini juga adalah warisan yang amat berharga dan kawasan itu pula menjadi tempat pembiakannya. Kami bimbang, jika tempat pembiakan tidak dijaga, burung itu akan pupus satu hari nanti,” katanya.
Samsuri berkata, seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi tanah yang menjadi persinggahan burung itu, Abdul Manan Bahran, pernah beberapa kali terserempak orang luar yang cuba menebang pokok pulai tempat burung itu bersarang.
“Jika Abdul Manan tidak melarang mereka, mungkin pokok bernilai tinggi itu semuanya sudah tumbang,” katanya.
Ketua Umno Cawangan Linau, Md Shah Nawawi, 47, pula berkata kehadiran burung botak membuat sarang di kampung itu adalah aset berharga untuk membantu industri pelancongan negeri ini.
Beliau berkata, ia boleh mengamit kehadiran pelancong luar terutama penggemar burung sekali gus membantu menjana ekonomi penduduk kampung.
“Apabila kawasan ini diwartakan sebagai kawasan perlindungan burung botak, ia boleh dimasukkan dalam senarai destinasi pelancongan negeri dan penduduk pula boleh terbabit dalam sektor itu dengan membuka `homestay’.
“Ini bermakna kehadiran burung botak di sini, bukan saja menambah destinasi pelancongan negeri malah membantu sumber ekonomi penduduk.
“Tetapi ia sukar untuk dilaksanakan selagi tanah yang menjadi persinggahan burung botak ini tidak diwartakan,” katanya.
Sementara itu, aktivis hidupan liar, Mansur Po, yang sudah 15 tahun mengkaji burung Botak di Kampung Linau Kecil itu, berkata burung yang berasal dari China itu dikenal pasti antara spesies yang sudah hampir pupus.
“Di negara asalnya (China) burung itu dikatakan sudah tidak ditemui lagi, begitu juga dengan Nepal yang pernah menjadi tempat pembiakannya. Kini Kampung Linau Kecil ini dikenal pasti satu-satunya tempat burung itu membiak di negara ini.
“Saya mengenalpasti terdapat 68 sarang burung itu di sepuluh pokok pulai di kampung ini dan ia bertambah tiga berbanding 65 yang saya kesan tahun lalu. Kita harus mempertahankan sarang-sarang yang ada ini,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya mengalukan-alukan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, untuk melihat sendiri lokasi yang dicadangkan menjadi santuari burung botak itu dan berharap kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mewartakan kawasan terbabit.
“Kami berharap Menteri Besar melihat sendiri tempat ini yang sejak sekian lama menjadi tempat pembiakan burung Botak.
“Burung itu biasanya mengawan pada Disember dan berada di sarangnya selama enam bulan iaitu sehingga Jun atau Julai kerana selepas bertelur dan mengeram, burung itu akan terus menjaga anaknya sehingga boleh terbang iaitu dalam tempoh enam bulan selepas menetas,” katanya.
Sumber: Berita Harian, 18 Mei 2009


