Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Sejarah kaum Cina, India kurang

Ditulis pada 10/07/2009 13:43:00

KOTA TINGGI: Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengalu-alukan aktivis, ketua masyarakat dan ahli akademik kaum Cina dan India yang berminat untuk bekerjasama dalam menghasilkan penulisan sejarah kaum masing-masing dan tokoh mereka di negeri ini.

Pelawaan itu dibuat berikutan tiada lagi penulisan yang serius mengenai kaum itu termasuk tokoh berwibawa yang boleh di ketengahkan.
Timbalan Pengarah YWJ, Ismail Zamzam, berkata setakat ini YWJ sudah membuat kajian mengenai etnik Jawa, Bugis, Malbari, Banjar dan Arab dan sebahagiannya sudah siap untuk diterbitkan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum menerima cadangan atau didatangi pihak tertentu daripada kaum Cina dan India untuk tujuan menulis sejarah kaum mereka.

“YWJ pada dasarnya tidak keberatan untuk memberi kerjasama kerana mempunyai kepakaran dan tenaga untuk menjalankan kajian.

“Apa yang berada dalam pengetahuan kami, sehingga kini hanya sejarah Wong Ah Fook yang sudah ditulis dan ditulis oleh kaum Cina. Beliau satu-satunya tokoh bangsa Cina yang terkenal dan berjasa di negeri ini, dan namanya pun turut diabadikan pada jalan utama dalam bandar raya Johor Bahru… kita percaya ada ramai lagi sejarah tokoh daripada kaum Cina yang boleh ditulis,” katanya.

Ismail berkata, YWJ juga sehingga kini belum menerima kehadiran mereka yang berminat untuk menulis atau mengemukakan cadangan bagi mengkaji sejarah tokoh kaum India.

Beliau berkata, seperti dalam buku sejarah Malaysia, termasuk dalam mata pelajaran sejarah di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tempatan, sejarah kedatangan kaum Cina dan India bermula sejak zaman Melaka tetapi bagi negeri Johor kehadiran mereka kebanyakannya adalah pada sekitar tahun 1830-an, iaitu ketika tanaman gambir dan lada hitam diusahakan secara besar-besaran di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Wilayah, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Asiah Md Ariff, berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan ahli akademik atau individu yang berminat untuk menulis mengenai sejarah kedua-dua kaum dan etnik mereka itu.

Katanya, beliau turut ditanya oleh wakil rakyat daripada DAP mengenai kajian berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

“Saya terbuka dalam soal ini, kerajaan negeri melalui YWJ berkeupayaan membuat kajian itu tetapi setakat ini tiada individu daripada kaum Cina yang hadir memberi kerjasama atau cadangan,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 10 Julai 2009

Halaman ini telah dibaca sebanyak 1676 kali

^ Atas