Segamat sedia hadapi kemungkinan banjir
SEGAMAT: Penduduk daerah ini tidak perlu bimbang menghadapi kemungkinan banjir melanda berikutan jawatankuasa banjir dan semua agensi terbabit sudah bersiap sedia dengan pelbagai persiapan menghadapi banjir yang dijangka berlaku bila-bila masa.
Pegawai Daerah Segamat, Burhan Amin, berkata projek mendalamkan beberapa sungai sudah dilaksanakan membabitkan Sungai Segamat, Sungai Labis, Sungai Juasih, Sungai Kapeh, Sungai Chaah kecuali Sungai Muar.
Katanya, kerja melebar, mendalam dan membersihkan sungai-sungai berkenaan sebahagian besarnya sudah siap dilaksanakan.
“Kita tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk mendalamkan Sungai Muar, tetapi sungai lain sudah diperdalam, diperbesar dan dibersihkan untuk memudahkan air sungai mengalir deras tanpa halangan.
“Jika hujan berlarutan selama satu hari satu malam, banjir akan berlaku dan kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana tidak mahu peristiwa banjir besar yang melanda seluruh Johor pada 2006 berulang tanpa persediaan lebih rapi,” katanya pada mesyuarat penuh Majlis Daerah Segamat di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, selain itu, semua jawatankuasa banjir dan agensi terbabit sudah diarah untuk melakukan pelbagai persiapan awal untuk membantu mangsa banjir di seluruh daerah ini.
Burhan berkata, sebanyak RM21 juta diperuntukkan JPS untuk melaksanakan projek membersih, mendalam dan melebarkan semua sungai di daerah berkenaan.
“Saya berharap usaha kerajaan ini akan membantu penduduk di daerah ini supaya tidak menjadi mangsa banjir kali ini, lebih-lebih lagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
“Persiapan awal yang lebih rapi menghadapi kemungkinan banjir kali ini akan membantu jawatankuasa banjir dan semua sukarelawan banjir yang bertugas menjalankan kerja dengan berkesan dan tidak berlaku sebarang masalah kekurangan kemudahan dan peralatan diperlukan seperti bot, pusat pemindahan dan lain-lain.
Beliau turut menasihatkan mangsa banjir supaya segera berpindah ke pusat pemindahan banjir berdekatan sebaik saja diarahkan jawatankuasa banjir di tempat mereka, apabila kawasan mereka mulai dinaiki air.
Katanya, ini bagi mengelakkan sebarang masalah timbul dalam usaha jawatankuasa banjir dan sukarelawan yang bertugas menyelamat mangsa banjir.
Sumber: Berita Harian, 1 Disember 2008
Berita ini telah dibaca sebanyak 8449 kali