RM500,000 untuk bina muzium Teochew
Ditulis pada 23/08/2012 15:26:03Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM500,000 kepada Persatuan Teochew untuk membina sebuah muzium berkaitan masyarakat itu di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, projek pembangunan tersebut sedang dalam proses reka bentuk dan kedudukan muzium itu masih belum ditetapkan.
Beliau berkata, projek itu juga adalah sejajar dengan kehendak kerajaan yang ingin membangunkan semula bandar raya ini sesuai dengan peredaran semasa sambil mengekalkan kandungan sejarah yang ada di sini.
“Masyarakat Toechew di sini memiliki pelbagai koleksi serta artifak sejarah yang menarik untuk dipamerkan. Mereka ini juga berperanan dalam usaha-usaha membangunkan Johor sejak 1840.
“Reka bentuk bangunan dan kedudukan muzium ini terserah kepada persatuan untuk tentukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Persatuan Teochew ke-73, di sini hari ini.
Konvensyen selama sehari itu dihadiri seramai 1,000 delegasi dari seluruh negara dan turut disertai penceramah jemputan dari China.
Sementara itu, Abdul Ghani memberitahu, kerajaan negeri bertungkus lumus memastikan projek pemulihan bandar raya ini berjalan lancar dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
“Sejajar dengan usaha membangunkan semula bandar raya ini, kita mahu memastikan pengisiannya merangkumi pelbagai sudut termasuk sejarah bagi mengekalkan budaya serta gaya hidup masyarakat di sini.
“Mana bangunan yang mempunyai ciri sejarah akan dipelihara dan dikekalkan manakala pembangunan yang baru akan dibina di atas kawasan tebus tanah. Kita juga akan membuka semula Sungai Segget dengan peruntukan RM200 juta dari kerajaan pusat,” katanya.


