Saturday, 04 February 2012 | W3C

 
Laman Utama > Johor Online > Komuniti
Aug 05, 2010 - 04:43 PM •    Bookmark and Share

RM40,000 bina jambatan baru

Sumber dipetik dari Utusan MalaysiaBATU PAHAT 4 Ogos - Berkat Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Itu yang dirasai penduduk Kampung Sungai Ayam di sini ekoran jambatan roboh yang menjadi laluan utama mereka diberi jaminan akan diganti baru dengan pembinaannya dijangka siap dua minggu lagi.

Kejadian jambatan roboh berdekatan Masjid Jamek Nur Hidayah sejak 17 Julai lalu akibat banjir itu, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 keluarga seolah-olah ‘terkepung’ dan putus hubungan.

Akibat ketiadaan jambatan tersebut, kira-kira 10 keluarga tidak dapat menghantar anak ke sekolah dengan menggunakan kereta sejak kejadian itu.image

Mereka terpaksa menunggang motosikal dan ‘menyusup’ menggunakan laluan lain menerusi celah-celah rumah jiran untuk sampai ke destinasi.

Bagaimanapun, lawatan Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ke kampung itu baru-baru ini membawa berita gembira.

Ini apabila Mohd. Puad mengumumkan peruntukan RM40,000 untuk membina jambatan baru di kampung itu.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu, beliau sendiri akan menghubungi Pejabat Menteri Besar untuk mempercepatkan pemberian peruntukan tersebut.

“Kawasan ini sering dilanda banjir dan ini menjadi sebab jambatan ini roboh.

“Dijangka jambatan baru ini siap dalam tempoh dua minggu, namun bergantung juga kepada keadaan cuaca,” katanya yang turut diiringi Pegawai Daerah, Norizan Kulob, di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati sebahagian kawasan tebing masjid turut terhakis dan hanya menunggu masa untuk roboh akibat banjir yang kerap melanda kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Ayam, Ithnin Ma’som, 64, berkata, pengumuman Mohd. Puad merupakan hadiah terbaik kepada penduduk untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Syukur bulan puasa dan raya kali ini, kita dapat jambatan baru, kalau tak, pening juga dibuatnya kalau sanak saudara datang nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Norizan berkata, penilaian sedang dijalankan ke atas satu lagi jambatan yang runtuh di kampung sama.

“Masih dalam penilaian, ia boleh dibaik pulih. Kita cuba untuk siapkan sebelum raya,” katanya.

Berita ini telah dibaca sebanyak 2501 kali