RM30 juta bangunkan semula Pasar Awam Kg. Melayu Majidee
Ditulis pada 06/08/2009 11:54:00JOHOR BAHRU 5 Ogos - Projek pembangunan semula Pasar Awam Kampung Melayu Majidee yang kini berusia 25 tahun dijangka menelan kos melebihi RM30 juta.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, projek itu memerlukan sumbangan modal pembiayaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Beliau berkata, projek pembinaan melibatkan bangunan tiga tingkat termasuk tempat meletak kereta bawah tanah itu akan dimulakan sebaik sahaja meneliti semua maklum balas daripada para peniaga.
“Apa yang menjadi masalah utama mengenai projek ini kepada peniaga adalah tempoh pembinaan yang akan mengambil masa panjang berikutan kerja-kerja menggali bagi tempat meletak kereta bawah tanah.
“Selain itu, masalah lain yang berbangkit ialah penempatan pasar awam sementara yang perlu memenuhi keperluan semua pihak seperti kemudahan tempat meletak kereta dan sistem pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Gerak Mesra Rakyat Gotong-Royong dan Taklimat Pembangunan Pasar Awam Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Adam Sumiru dan Yang Dipertua, Persatuan Peniaga Kampung Melayu Majidee, Nik Hasni Melan.
Shahrir berkata, projek pembangunan semula Pasar Awam Kampung Melayu Majidee itu akan dilaksanakan berdasarkan kepentingan peranan pasar awam yang berkonsep mesra peniaga dan pelanggan.
Jelas beliau, projek itu bakal direka bentuk sebagai pusat sehenti (one stop centre) yang memenuhi ciri-ciri pembangunan bersepadu.
Katanya, apabila siap kelak, projek berkenaan dapat menampung lebih 300 peniaga basah di aras satu dan peniaga komersial di aras atas selain jumlah tempat meletak kereta sebanyak 300 petak.
“Pada masa sama, saya akan memastikan kadar sewa tapak adalah sama seperti sekarang, manakala bayaran letak kereta adalah RM1 sekali masuk.
“Saya mengalu-alukan maklum balas daripada semua pihak untuk memberi pandangan masing-masing dalam usaha menjadikan projek ini lebih terbuka dan telus serta tidak menimbulkan sebarang rasa tidak puas hati apabila siap kelak,” katanya.
Shahrir berharap agar projek pembangunan semula Pasar Awam Kampung Melayu Majidee itu boleh menjadi sebahagian daripada projek di koridor Iskandar Malaysia apabila Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bertindak sebagai pencetus idea.
Sumber: Utusan Malaysia, 6 Ogos 2009


