23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

RM1.8j biaya 503 jemaah haji

Ditulis pada 23/09/2011 07:45:15

Kerajaan negeri membiayai seramai 503 jemaah haji dengan kos RM1.8 juta bagi menunaikan rukun Islam kelima itu pada 10 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, jemaah terpilih itu adalah mereka yang pernah berkhidmat dengan kerajaan negeri dari tiga hingga 25 tahun.

“Pembiayaan jemaah haji setiap tahun adalah usaha kerajaan negeri meningkatkan syiar Islam di samping memberi peluang penduduk beragama Islam menunaikan rukun Islam kelima.

“Hanya kerajaan Johor melakukan konsep pembiayaan haji seperti ini sejak puluhan tahun dilakukan malah sejak zaman Datuk Onn Jaafar (bekas Menteri Besar Johor),” katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Dengan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor 1432/2011 di Persada Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, memang menjadi tradisi kerajaan negeri meneruskan amalan itu dan jumlah jemaah yang ditaja bertambah kepada 503 orang berbanding 496 pada tahun lalu.

Sementara itu, seorang mualaf yang terpilih mengikuti rombongan tersebut, Mohd. Arif Leow Abdullah, 47, bersyukur kerana terpilih dan tidak sabar untuk ke Mekah.

Dia yang berasal dari Kong Kong, Masai, akan menunaikan haji bersama isteri, Dr. Yuslina Mohamed Yusof, 47.

“Kami sepatutnya pergi haji pada 2037 tetapi melalui rombongan ini kami dapat pergi pada tahun ini. Sebelum ini saya pernah menunaikan umrah pada 2006,” katanya.

Penghulu Kanan Daerah Segamat, Mashod Hitam, 56, turut bertuah kerana terpilih dalam rombongan tersebut bersama dua isterinya, Rosni Samasiar, 54, dan Rusyati Kadirun, 46.

“Ini sudah niat saya untuk membawa kedua-dua isteri menunaikan haji. Jika bawa salah seorang, rasa bersalah dan tidak adil pula. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Sultan Johor dan kerajaan negeri kerana memberi peluang ini,” katanya.

Mohd. Lazim Mohd. Rusid, 56, yang pernah berkhidmat sebagai askar Timbalan Setia Negeri (TSN) Johor turut terharu kerana terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

“Kalau ikut giliran sedia ada, saya dijadual pergi haji pada 2030 tapi alhamdulillah saya dapat pergi kali ini,” katanya yang berasal dari Kota Tinggi.

Berita ini telah dibaca sebanyak 1051 kali

^ Kembali ke atas