RCW lonjak industri binaan
Ditulis pada 28/04/2011 17:18:57JOHOR BAHRU 27 April - Minggu Pembinaan Wilayah Selatan Johor 2011 (RCW 2011) anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) merupakan program utama industri pembinaan di negeri ini dan ia amat dinanti-nantikan oleh penggiat industri.
Penganjuran RCW 2011 yang bermula pada Selasa hingga Jumaat ini menjadi medan bagi semua penggiat industri untuk meluaskan jaringan perniagaan di samping mencari maklumat terkini mengenai industri pembinaan di negeri ini.
Pengarah CIDB negeri, Zaini Jalil berkata, penganjuran RCW kali kelima itu bertujuan berkongsi maklumat di samping mencari pendekatan terbaik untuk membaiki kualiti perkhidmatan dalam kalangan penggiat industri.
RCW juga memberi pendedahan kepada penggiat industri mengenai teknologi terkini yang boleh diaplikasikan dalam industri pembinaan pada masa akan datang.
“RCW 2011 ini merupakan platform terbaik untuk meluaskan jaringan perniagaan di samping menjadi lokasi bertukar pandangan untuk menambah baik kualiti industri. Program ini juga merupakan medan bagi mewujudkan business pairing kerana pelbagai pihak dengan pelbagai kemahiran akan hadir.
“Matlamat utama penganjuran program ini untuk melahirkan penggiat industri yang berkemahiran tinggi dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
RCW pernah dianjurkan di beberapa kawasan lain sebelum ini merangkumi Zon Selatan iaitu di Melaka, diikuti Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Kota Bharu, Kelantan dan RCW di Kuching, Sarawak. Ia akan menjengah ke Kota Kinabalu, Sabah selepas ini.
Zaini berkata, RCW berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, swasta, penggiat profesional dan penglibatan kontraktor serta personel binaan.
Beliau berkata, pelbagai acara menarik disediakan kepada mereka yang terlibat termasuk pameran produk terbaru, Hari Bertemu Pelanggan bersama CIDB dan penyebaran maklumat mengenai agensi serta jabatan kerajaan yang terlibat dalam sektor pembinaan di negara ini.
“Penggiat industri pembinaan berpeluang mendapatkan informasi terkini mengenai bidang tersebut daripada agensi serta jabatan kerajaan kerana pada program ini mereka diberi peluang berinteraksi secara terus mengenai sebarang permasalahan yang dihadapi mereka,” katanya.
Selain pameran dan interaksi bersama agensi kerajaan, beliau memberitahu, beberapa siri seminar berkaitan hala tuju industri binaan negara turut diadakan termasuk pembentangan kertas kerja oleh wakil beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), UEM Land Holdings Bhd., Jabatan Kerja Raya dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Beliau berkata, melalui seminar itu penggiat industri akan diberikan pendedahan mengenai pembangunan berasaskan teknologi hijau dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang semakin mendapat tempat dalam bidang industri.
“Sekiranya matlamat itu berjaya dicapai, mereka ini akan dapat mencipta lebih banyak lebihan pendapatan pada masa akan datang. Lebihan pendapatan yang dihasilkan itu dapat menyumbang kepada peningkatan gaji pekerja dalam bidang ini.
“Apabila pendapatan dapat ditingkatkan, maka lebih ramai anak tempatan akan tertarik untuk menyertai bidang ini seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.


