23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Pusat kecemerlangan umat

Ditulis pada 11/11/2011 12:52:59

image

SEGAMAT 10 Nov. - Pusat Tahfiz Darul Faqeh yang dibina dengan kos kira-kira RM2.5 juta dan dijadual beroperasi tahun depan bakal menjadi kebanggaan penduduk daerah ini.

Pembinaannya bermula pertengahan 2009 di kawasan seluas kira-kira 3.2 hektar di Bandar Segamat Baru mampu menempatkan 200 pelajar serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana.

Pusat itu merupakan pusat tahfiz pertama diilhamkan Hassan Mohd. Jadi iaitu anak kelahiran Paya Pulai, yang merupakan tokoh korporat berjaya di daerah ini.

Pusat tersebut diterajui Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Baharom Mohamad sebagai Penaung, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot (Penasihat), bekas Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) negeri, Ayob Jantan (Pengerusi) dan Hassan sebagai ahli jawatankuasanya.

Walaupun Darul Faqeh belum siap sepenuhnya tetapi dewan utamanya telah digunakan untuk beberapa program, kelas dan kursus sejak 10 Ogos tahun lalu dan ia dirasmikan Mufti Johor, Datuk Mohamad Tahrir Shamsudin.

Antara program yang diadakan adalah majlis muzakarah tokoh-tokoh ulama, maulid dan qasidah dan ceramah agama yang disampaikan Habib Thohir Mohammad Al-Haddad dari Yaman dan Noh Gadot.

Menurut Ayob, visi mereka untuk melahirkan generasi al-Quran sebagai teras pembangunan dan kesejahteraan ummah dalam era globalisasi yang serba mencabar, manakala misi pula ialah menyusun usaha strategik bagi mewujudkan pelajar yang menguasai kemahiran ilmu al-Quran dan berketerampilan akhlak terpuji.

Beliau berkata, objektif penubuhan Darul Faqeh untuk melahirkan tahfiz al-Quran yang berkualiti sebagai teras kepada ulama yang muktabar.

“Mata pelajaran bersepadu dilaksanakan iaitu Kurikulum Dinniyah dan Kurikulum Akademik. Kurikulum Dinniyah meliputi 13 mata pelajaran antaranya Tahfiz, Tajwid, Adab al-Quran, Tarannum, Dhabatul Quran dan Bahasa Arab.

“Kurikulum Akademik pula mempunyai tujuh mata pelajaran antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan komputer,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, konsep atau asas pengajian di pusat tersebut menggunakan tiga bahasa pengantar iaitu Arab, Melayu dan Inggeris melibatkan tiga bidang utama iaitu akademik, al-Quran dan kemahiran.

“Bidang akademik dan al-Quran berteraskan Sunah Waljamaah, manakala kemahiran pula berasaskan kepada kemahiran tani, bengkel, pertukangan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Bidang kokurikulum pula berasaskan kemahiran komunikasi dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti masyarakat melibatkan fardu kifayah seperti kematian, perkahwinan dan majlis-majlis keagamaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga kelas pengajian umum bagi penduduk setempat yang ingin mendalami Islam dan pengajian bersandarkan kitab tertentu diadakan setiap Sabtu dan Ahad.

Kursus-kursus kemahiran membaca al-Quran juga akan diadakan setiap cuti penggal persekolahan khusus disasarkan untuk pelajar sekolah.

“Darul Faqeh juga menyediakan ruang dan kemudahan kepada individu, golongan dewasa dan warga emas menghafal al-Quran atau memahami ilmu berkaitan dengannya,” katanya.

Beliau percaya pusat itu akan menjadikan Segamat sebagai hab pendidikan bercirikan Islam dan melahirkan pelajar Islam yang progresif sesuai dengan tuntutan semasa.

Berita ini telah dibaca sebanyak 705 kali

^ Kembali ke atas