Pulau Rawa memukau
Ditulis pada 28/10/2009 12:19:01MERSING 27 Okt. – Keindahan pulau-pulau di sekitar perairan daerah ini sememangnya tidak dapat dinafikan dan ia merupakan antara tarikan utama para pelancong untuk datang ke daerah ini.
Mungkin bagi mereka yang menggemari percutian di pulau-pulau, Pulau Rawa merupakan satu destinasi yang tidak seharusnya dilepaskan kerana ia menjanjikan satu kelainan dalam percutian.
Hembusan angin Laut China Selatan yang kadang kala bertiup perlahan dan sekali-sekala agak kuat sungguh mendamaikan khususnya semasa matahari mula mencelikkan sinar mahupun tatkala membenamkan dirinya.
Keseronokan beristirehat di pulau ini tidak lengkap jika pengunjung tidak bermandi-manda, lebih-lebih lagi air laut yang membiru dan dingin ini pastinya menyegarkan badan.
Menghayati pemandangannya, Pulau Rawa memang antara destinasi sesuai untuk berehat bersama keluarga dan menenangkan fikiran.
Berbeza dengan pulau-pulau lain yang ada di negara ini, Pulau Rawa merupakan tempat terbaik bagi mereka yang mahu menjalani percutian yang eksklusif kerana di sini terdapat pantai dan calet penginapan bertaraf dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Rawa Safaris Sdn. Bhd., Azhar Ahmad berkata, pada kebiasaannya Pulau Rawa dipenuhi dengan para pengunjung terutamanya dari luar negara pada setiap pertengahan tahun.
Beliau berkata, pada waktu itu keadaan laut dan cuaca adalah sangat baik dan sesuai untuk menjalankan sebarang aktiviti laut serta pantai.
‘‘Antara Februari hingga November pulau ini akan dipenuhi dengan para pelancong dan kebanyakan mereka adalah dari Eropah seperti United Kingdom, Switzerland, Perancis dan sebagainya.
‘‘Ada di antara mereka merupakan pelanggan yang sudah beberapa kali datang ke Pulau Rawa,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Azhar berkata, boleh dikatakan sepanjang tahun pulau itu sering menjadi tumpuan para pelancong untuk beristirehat dan kadang kala mereka terpaksa membuat tempahan tiga bulan lebih awal.
Beliau berkata, Pulau Rawa merupakan satu destinasi pelancongan yang direka khas untuk percutian keluarga dan lebih menjurus kepada aktiviti berbentuk santai.
“Untuk pengetahuan umum Pulau Rawa tidak membenarkan sebarang bentuk aktiviti sukan permotoran laut atas sebab-sebab keselamatan dan keselesaan para pengunjung,” katanya.
Azhar berkata, Pulau Rawa sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur bagi memastikan para pelancong terutamanya dari luar negara berada dalam keadaan yang selesa.
Beliau memberitahu, antara faktor utama para pelancong asing memilih untuk datang ke pulau-pulau di Malaysia ialah kebersihan pantai dan keselesaan sepanjang masa bercuti.
“Tujuan mereka hadir ke pulau-pulau adalah untuk bercuti dan mereka akan banyak menghabiskan masa dengan berehat-rehat di tepi pantai sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang tersedia.
“Oleh kerana itu kebersihan dan keselesaan pengunjung merupakan aspek utama yang harus diberikan perhatian bagi memastikan mereka kembali lagi ke pulau ini,” jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia, 28 Oktober 2009


