23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

PTNJ naik taraf infrastruktur

Ditulis pada 15/12/2009 13:08:00

JOHOR BAHRU 14 Dis. - Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) sedang giat menjalankan kerja-kerja membaiki dan penambahbaikan kemudahan di Taman Negara Tanjung Piai serta Taman Negara Pulau Kukup.

Pegawai Pelancongan negeri, Norwati Abdul Wahab berkata, melalui peruntukan Kementerian Pelancongan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, beberapa projek baru kini giat dijalankan di kedua-dua taman negara itu termasuk menaik taraf infrastruktur sedia ada di situ untuk kegunaan orang ramai.

Beliau berkata, antara projek yang giat dilakukan di Taman Negara Tanjung Piai termasuk pembinaan benteng penahan ombak, menaik taraf Jalan Desa Sri Piai dan sistem perparitan menuju ke Kompleks Pelawat.

“PTNJ juga sedang menaik taraf Jalan Laluan serta kemudahan perkhidmatan trem untuk kemudahan para pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Norwati berkata, pihaknya juga sedang giat menjalankan kerja-kerja menaik taraf jeti utama Kuala Sungai Ular serta membaiki kemudahan pelantar pejalan kaki di Taman Negara Pulau Kukup.

Selain itu, katanya, PTNJ juga sedang menyelenggara jambatan gantung yang merentasi Sungai Ular dan menaik taraf bangunan menara pemerhati di situ.

“Kita juga mendapat sejumlah peruntukan daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk membaiki kemudahan tandas, ruang kedai serta sistem pencahayaan tempat letak kereta Sg. Belukang.

“Di samping itu, IRDA turut memberikan peruntukan untuk menaik taraf pelantar Penghujung Benua Asia, pembinaan perangkap sampah dan kerja-kerja pembersihan sampah di Taman Negara Pulau Kukup,” katanya.

Dalam pada itu, PTNJ juga telah menjalankan usaha-usaha pembersihan sampah yang hanyut di laut secara berkala bagi memastikan kawasan tersebut sentiasa dalam keadaan bersih.

Sumber: Utusan Malaysia, 15 Disember 2009

Berita ini telah dibaca sebanyak 2381 kali

^ Kembali ke atas