Projek EDL siap hujung 2011
Ditulis pada 12/04/2011 17:24:56JOHOR BAHRU 11 April – Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) sepanjang 8.1 kilometer di bandar raya ini dijadual siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB), Datuk Mohamed Razeek Hussain berkata, secara fizikalnya projek yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM1 bilion itu sudah siap hampir 80 peratus.
Beliau berkata, projek yang mempunyai laluan tiga lorong itu bakal menyelesaikan masalah trafik terutamanya di Jalan Tebrau dan Jalan Pandan. Ia merupakan satu-satunya laluan keluar masuk dari Kota Tinggi serta Pasir Gudang.
“EDL akan menjadi laluan penting di antara Jalan Lingkaran Dalam, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Jalan Tebrau, Jalan Pandan dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Selain itu, lebuh raya ini merupakan satu-satunya projek yang dibiaya sepenuhnya oleh syarikat pemaju termasuk kos pemilikan tanah dan pembinaan.
“Lebuh raya ini akan dibuka kepada orang ramai menjelang suku pertama 2012 selepas mendapat Sijil Kesempurnaan Pembinaan Lebuhraya (SKPL) daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan dijangka seramai 80,000 pengguna akan menggunakan laluan ini setiap hari,” katanya di pejabat MRCB di sini kelmarin.
Mohamed Razeek berkata, pengguna hanya akan dikenakan tol di CIQ ketika ingin keluar masuk ke Singapura manakala selebihnya adalah percuma.
Beliau berkata, projek yang mempunyai empat laluan bertingkat sepanjang 4.4km itu akan dilengkapi dengan 12 kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pergerakan dan memastikan keselamatan kenderaan di sepanjang lebuh raya.
“Lebuh raya ini juga dilengkapi Sistem Pengenalan Nombor Pendaftaran Kenderaan Automatik untuk setiap kenderaan bagi membolehkan ia dipantau dari segi pergerakan dan had laju ketika menggunakan EDL,” katanya.
Walaupun beberapa kawasan masih dalam pembinaan, beliau menjangkakan tidak akan wujud sebarang masalah untuk menyiapkan projek itu mengikut jadual yang ditetapkan.
Sebelum ini katanya, MRCB mengalami masalah memindahkan penduduk setinggan di beberapa kawasan tetapi ia berjaya ditangani dengan baik hasil kerjasama kerajaan negeri.


