23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

PPNJ ungguli sektor pertanian

Ditulis pada 11/11/2011 12:51:26

JOHOR BAHRU 10 Nov. - Pertubuhan Peladang (PP) berjaya meletakkan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) sebagai agensi yang unggul dalam melaksanakan program pembangunan yang dijayakan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini.

Pengerusi PPNJ, Mohd. Yusof Md. Salleh berkata, penglibatan penyertaan keluarga tani PP di negeri ini sebenarnya direalisasikan oleh 81,134 ahli menerusi 638 Unit Peladang di bawah 29 PPK.

Menurutnya, PPNJ akan terus merangka dan melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi bagi memastikan peranan dan objektif utama iaitu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial ahli serta masyarakat meningkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, berikutan pencapaian PPNJ yang membanggakan, kerajaan negeri memberi pengiktirafan kepadanya untuk menganjurkan Ekspo Agro dan Makanan Johor 2011 sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Johor di Pusat Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang selama lima hari mulai 25 November ini.

“Pada dasarnya acara ini dikhususkan untuk memberi pengiktirafan kepada sektor pertanian, penternakan dan perikanan yang memainkan peranan penting dalam arus pembangunan pertanian.

“Ia juga menjadi forum perjumpaan peladang, penternak dan nelayan untuk mengikuti perkembangan teknologi pertanian terkini menerusi pameran, seminar dan konvensyen yang akan dijalankan sepanjang program berlangsung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berpeluang mempromosikan produk pertanian dan teknologi serta inovasi terkini bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Mohd. Yusof berkata, program itu di bawah kendalian Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abd. Aziz Kaprawi.

Ekspo berkenaan turut menyediakan pelbagai ruang pameran dan informasi mengenai jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat termasuk syarikat swasta serta pelbagai produk sampingan.

Pada dasarnya, bidang pertanian dan industri asas tani memiliki pelbagai sektor utama seperti pertanian, buah-buahan, ternakan, perikanan yang melibatkan perikanan tempatan dan ternakan ikan hiasan.

“Ia termasuk industri kecil dan sederhana seperti makanan ringan, makanan sejuk beku dan pelbagai produk sampingan yang dihasilkan daripada keluaran hasil pertanian, perikanan dan ternakan.

“Secara jujur, peladang dan PPNJ amat menghargai pengiktirafan yang diberikan kerajaan negeri untuk menganjurkan ekspo ini kerana kerajaan melihat PP merupakan salah satu entiti penting dalam pembangunan ekonomi negeri ini,” katanya.

Justeru, beliau menyeru usahawan tempatan, syarikat swasta di dalam atau luar negara mengambil peluang untuk bersama-sama menyertai pameran dan gerai jualan yang disediakan di sepanjang lima hari ekspo tersebut berlangsung.

Sumber: Utusan Malaysia

Berita ini telah dibaca sebanyak 575 kali

^ Kembali ke atas