Pengusaha IKS perlu kreatif
Ditulis pada 03/07/2012 15:40:11Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini perlu kreatif dan inovatif dalam mengeluar atau menawarkan produk masing-masing supaya lebih berdaya maju dan kekal lama untuk terus bersaing.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, usahawan IKS perlu sentiasa menyediakan kelainan dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan sebagai usaha mengekal dan menarik pelanggan.
“Kelainan merupakan faktor penting dan ia akan memberikan kelebihan terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan untuk bersaing dengan jenama lain,” katanya di Majlis Pelancaran Promosi Minggu PKS 2012 Peringkat Wilayah Selatan, di sini baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar, Tan Kok Hong.
Tambah beliau, dalam realiti dunia perniagaan hari ini, jenama produk atau perkhidmatan yang kukuh dan terkenal mula menguasai kedudukan utama di pasaran dan menjadi satu kemestian untuk melakukan inisiatif berbeza bagi memajukan jenama produk masing-masing ke pasaran antarabangsa.
“Kita perlu mendapatkan pengiktirafan standard yang diterima pakai di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan keyakinan pengguna melalui mutu dan jenama produk.
“Apatah lagi, kita mempunyai satu sistem kewangan lengkap merangkumi takaful dan perniagaan saham dalam Bursa Kuala Lumpur yang membantu dalam perkembangan pasaran wang antarabangsa,” katanya.
Kata Abdul Ghani lagi, selain dana yang diwujudkan, terdapat pelbagai sumber pembiayaan alternatif yang disediakan menerusi kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta seperti SME Corporation Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) melalui Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah yang dikendalikan 13 institusi perbankan Islam.
Oleh demikian, beliau berharap peluang yang terbuka luas itu dimanfaatkan oleh kesemua usahawan IKS untuk lebih maju, di samping menaik taraf perusahaan masing-masing.
“Kerajaan Persekutuan membiayai dua peratus daripada kadar pembiayaan yang dikenakan oleh bank. Dana RM2 bilion turut ditawarkan dalam bentuk rebat dua peratus bagi permohonan pembiayaan berjumlah sehingga RM5 juta yang diluluskan sehingga tahun 2013,” ujarnya.
Laporan asal: Utusan Malaysia


