Pembangunan MSC Cybercity dimulakan
KULAIJAYA 11 Mac - Projek pembangunan MSC Cybercity Johor di atas tanah seluas 60 hektar milik Genting Property Sdn. Bhd., di Bandar Indapura di sini akan dimulakan pertengahan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, hab pembangunan ekonomi khusus untuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu akan mempunyai persamaan dengan lembah ICT di Bangalore, India.
Beliau berkata, fasa pertama pembangunan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2011 dan bakal menempatkan syarikat-syarikat ICT dari dalam dan luar negara yang mahu meluaskan aktiviti-aktiviti pembangunan teknologi maklumat.
“Antara syarikat ICT yang dijangka terlibat dengan projek berkenaan termasuk Call Center France Teleperformance dari Itali dan syarikat sosial media global, Friendster Incorporated dari Amerika Syarikat (AS).
“Buat permulaan, ia dijangka mampu mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan baru untuk para penduduk khususnya di negeri ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Borang Geran Pembinaan Tapak Pembangunan MSC Cybercity, Bandar Indahpura hari ini.
Geran tersebut disampaikan oleh Pengerusi Genting Property, Tan Sri Mohd. Amin Othman. Turut hadir Ahli Parlimen Kulaijaya, Tan Sri Ong Ka Ting.
Abdul Ghani berkata, projek pembangunan MSC Cybercity Johor itu membabitkan tiga fasa bagi tempoh lapan tahun dengan anggaran nilai pembangunan sebanyak RM1.16 bilion.
Selain itu, Kulaijaya juga akan mempunyai sebuah outlet premier dari AS dengan anggaran nilai pembangunan kira-kira RM200 juta yang dijangka mula beroperasi awal 2012.
Menteri Besar berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha pembangunan untuk menarik lebih ramai pelabur asing datang ke Malaysia khususnya Johor dan pada masa sama menaik taraf bandar tersebut.
“Melalui pembangunan seperti ini, diharap Kulaijaya mampu menjadi hab ekonomi khususnya untuk pelaburan intensif pada masa akan datang,’’ ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia, 12 Mac 2010
Berita ini telah dibaca sebanyak 1427 kali