Saturday, 11 February 2012 | W3C

 
Laman Utama > Johor Online > Pelancongan
Jan 07, 2009 - 10:21 AM •    Bookmark and Share

Peluncur ‘menggila’ di Desaru

KOTA TINGGI 6 Jan. - Keadaan laut yang bergelora dan berombak kuat akibat tiupan angin monsun pada Disember lalu dan Januari ini membawa tuah dan nikmat besar kepada ahli sukan peluncur ombak.

Ini kerana, keadaan itu menyebabkan pesisiran pantai sepanjang 17 kilometer di Desaru yang sentiasa dipukul oleh ombak tinggi bertukar menjadi gelanggang peluncur tempatan dan antarabangsa dalam sukan berkenaan.

Selama dua hari bermula Sabtu lalu, sebanyak 70 peluncur berentap dalam pertandingan sukan luncur ombak Mayhem Monsoon 2009 di Desaru Golden Beach Resort di sini.

Walaupun sukan tersebut boleh dianggap baru di negara ini berbanding sukan lain, namun sambutan peminat sukan berkenaan amat menggalakkan khususnya dari Indonesia, Thailand, Singapura, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat.

Para peserta yang berusia 14 hingga 35 tahun, berentap dalam lima kategori pada pertandingan bertaraf separuh profesional itu.

Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Johor (MTPJ), A. Jabar Mohd. Tahir berkata, kategori yang dipertandingkan ialah lelaki terbuka, wanita terbuka, remaja, long board dan body board.

“Pertandingan yang merupakan acara tahunan sejak tiga tahun lalu itu merupakan anjuran Bigfoot Industries dengan kerjasama MTPJ bagi merebut hadiah keseluruhan RM10,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Penganjuran sukan berkenaan bertujuan mempromosikan sukan tersebut termasuk menggalakkan kemasukan pelancong ke negara dan negeri ini.

A. Jabar berkata, selain pantai Desaru, lokasi lain tempat pertandingan berkenaan adalah di Cherating dan Pulau Tioman, Pahang.

Berbeza dengan tahun lalu yang menyaksikan seramai 120 peserta, beliau berkata, pertandingan kali ini memperlihatkan para peluncur yang lebih berkualiti dalam saingan yang lebih sengit walaupun jumlah penyertaan hanya 70 orang.

Bagaimanapun, hadiah dan ganjaran bukan menjadi pendorong utama kepada keghairahan peluncur-peluncur terbabit bermain dengan ombak.

Sebaliknya, kepuasan meniti dan meluncur di atas arus ombak yang menggulung serta membuat pelbagai aksi dan gaya merupakan ‘kegilaan’ yang menjanjikan keseronokan kepada mereka.

Menurut A. Jabar, nama Desaru dan Cherating kini bukan lagi asing di kalangan peluncur luar negara yang sebelum ini hanya tertumpu di Bali, Indonesia bagi kawasan Asia Tenggara.

Menurutnya, sukan tersebut juga mengubah landskap pelancongan pantai di Johor yang sebelum ini didapati agak suram setiap kali menjelang akhir dan awal tahun akibat ombak monsun yang tinggi.

“Disebabkan faktor cuaca dan ombak, tempoh monsun menyebabkan orang ramai tidak berkunjung ke Desaru tetapi dengan sukan ini maka sepanjang tahun kawasan ini dilawati pengunjung,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia, 7 Januari 2009

Berita ini telah dibaca sebanyak 10369 kali