Pelan strategik 3 tahun JPNJ siap bulan depan
JOHOR BAHRU: Tema “Menjana Kualiti dan Imej Gemilang Tahun 2012” yang digunakan Kementerian Pelajaran Malaysia akan dijadikan teras dalam Pelan Strategik Tiga Tahun (2009-2011) Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) yang dijangka siap November ini.
Sejajar visi kementerian, JPNJ turut melaksanakan beberapa pendekatan untuk memastikan pendidikan negeri Johor terutama sekolah berkembang maju, mencapai matlamat yang sudah ditetapkan mengikut perancangan dan sasaran yang dibuat.
Pengarahnya, Sufa’at Tumin, berkata sasaran ‘Johor Top Five’ , iaitu Johor perlu berada dalam lima terbaik dalam pencapaian semua peperiksaan awam sudah sampai kemuncaknya. Menjelang Disember, dua keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan menunjukkan hasil.
Sehubungan itu, pihaknya sudah bersedia dengan beberapa kemungkinan sama ada Pelan Strategik 2006-2008 itu berjaya atau tidak, dan pada masa sama, JPNJ turut merangka pelbagai perancangan untuk memperbaiki sebarang kekurangan dalam pelan sebelum ini.
“Kita bukan tidak yakin terhadap hasil yang bakal diperoleh tetapi, kita sudah bersedia kalau ia masih belum sepenuhnya berjaya. Yang penting, kita sudah bersedia untuk menjana kejayaan yang lebih cemerlang dengan tidak terlalu bergantung kepada Johor Top Five semata-mata” katanya di sini, baru-baru ini.
Mengulas Pelan Strategik baru JPNJ, Sufa’at membayangkan beberapa pendekatan yang sudah dimasukkan dalam pelan itu, dan ia kini dalam proses menambah baik dan memurnikannya.
Antara yang sudah dikemukakan ialah tiga pendekatan yang merujuk kepada “Tranformational Leader” , “Emersion Leader” dan “Expert Base Leadership”.
Sumber: Berita Harian
Berita ini telah dibaca sebanyak 8631 kali