Pelaburan RM500j rangsang sektor bioteknologi Malaysia
Ditulis pada 11/09/2011 18:57:34Syarikat bioteknologi utama India, Biocon Ltd akan membuka kilang berharga RM500 juta di Iskandar Malaysia, yang bakal meningkatkan reputasi negara sebagai peserta bertaraf dunia dalam sektor berkenaan.
Biocon, yang berpangkalan di Bangalore dan memiliki pengalaman 33 tahun dalam pengeluaran biofarmaseutikal itu, menjangkakan kilang tersebut akan dilengkapi pusat penyelidikan dan pembangunan dalam Bio-XCell dan beroperasi sepenuhnya pada 2014, dengan keupayaan untuk menawarkan 600 pekerjaan.
Komitmen Biocon merupakan langkah pertama terhadap usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran utama bioteknologi.
Malah, sektor bioteknologi semakin cerah dengan rundingan sedang dijalankan dengan empat syarikat lain - Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, yang merancang membuka kemudahan pengeluaran Bio-Xcell di Malaysia.
Upacara pecah tanah berlangsung di sini semalam sebagai menandakan komitmen projek Biocon Ltd menerusi syarikat tempatannya, Biocon Sdn Bhd.
Acara itu dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Bio-Xcell dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.
Turut hadir Pengerusi dan Pengarah Urusan Biocon Ltd., Kiran Mazumdar-Shaw.


