PBT Digesa Ketepi Kerenah Birokrasi
Ditulis pada 02/04/2010 15:26:57JOHOR BAHRU, 30 Mac: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini diingatkan supaya mengetepikan masalah birokrasi ketika berurusan dengan rakyat bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian kerajaan.
Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, kesal dengan dakwaan bahawa kakitangan PBT tidak mesra dengan penduduk selain program-program yang dijalankan kurang berkesan.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Johor Sesi 2009/2010 di Hotel The Zon Regency, di sini, semalam.
“Terdapat juga persepsi negatif segelintir masyarakat bahawa kakitangan PBT terlibat dalam amalan negatif.
“Saya tidak kata persepsi itu tepat, tetapi kita kena terima hakikat bahawa rakyat kini memberi harapan yang tinggi terhadap mutu perkhidmatan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau juga kesal kerana masalah itu bukan sahaja akan mencemarkan imej kerajaan dan PBT itu sendiri malah ia akan merencatkan kemasukan pelabur ke Johor.
“Saya tidak faham kenapa pihak berkuasa perlu mengambil masa terlalu lama untuk mempertimbangkan permohonan pelaburan yang pelbagai termasuklah yang berkaitan industri, hartanah, perumahan perdagangan dan sebagainya dan ia perlu diatasi,” katanya.
Pada ucapannya itu, Abdul Ghani turut meminta ahli-ahli majlis menubuhkan persatuan penduduk di kawasan mereka bagi membantu mengatasi masalah setempat secara bersama dengan penduduk.
“Ahli-ahli majlis adalah umpama wakil rakyat lapisan ketiga dalam masyarakat dan mereka sedar bidang kuasa mereka penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan masing-masing.
Oleh itu, katanya, melalui persatuan yang ditubuhkan ahli-ahli majlis tidak akan keseorangan, sebaliknya bersama-sama dengan penduduk melakukan pelbagai aktiviti untuk faedah bersama.
Sumber : Laman Web Rasmi Pejabat Menteri Besar


