Pangkalan data rumah terbengkalai diwujud
NUSAJAYA 1 Julai - Satu pangkalan data mengandungi maklumat pemaju, lembaga pengarah dan pemilik rumah akan diwujudkan dalam usaha menyelesaikan isu projek perumahan terbengkalai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, maklumat di dalam pangkalan data itu akan digunakan untuk menyenaraihitamkan syarikat yang terlibat.
Menurutnya, senarai tersebut juga akan dimajukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi tindakan selanjutnya.
“Tindakan ke atas pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Namun, kerajaan negeri juga mengambil langkah proaktif dengan mengenal pasti projek-projek terbengkalai dan mencari penyelesaian bersama pasukan petugas khas Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai yang diwujudkan di bawah Jabatan Perumahan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ayub Rahmat (BN-Kemelah), Tan Cher Puk (BN-Johor Jaya) dan M. Munusamy (BN-Permas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahri memberitahu, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju supaya dasar penyediaan rumah kos rendah dan sederhana rendah dikaji semula struktur dan komposisinya.
Katanya, kajian tersebut dilakukan bagi memastikan pembangunan perumahan pada masa akan datang menjadi lebih berkualiti dan berdaya maju.
“Dengan ini, secara tidak langsung ia dapat membantu mengurangkan masalah perumahan terbengkalai. Dasar ini dijangka akan diputuskan pada Ogos ini,” katanya.
Persidangan DUN bersambung esok.
Sumber: Utusan Malaysia, 2 Julai 2009

