Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Operasi klinik kerajaan dilanjutkan hingga 9 malam

Ditulis pada 03/04/2009 11:57:00

BATU PAHAT 2 April - Jabatan Kesihatan Johor akan melanjutkan waktu operasi semua klinik pesakit luar termasuk hospital di seluruh negeri bagi memudahkan rakyat mendapatkan rawatan selepas waktu pejabat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, waktu operasi yang kini dari pukul 8 pagi hingga 5 petang akan dilanjutkan sehingga 9 malam.

Menurutnya, langkah itu dibuat ekoran sambutan orang ramai terhadap lanjutan waktu operasi yang diperkenalkan di tiga klinik pesakit luar di Johor pada 2007.

Beliau berkata, klinik berkenaan ialah di Jalan Mahmoodiah Johor Bahru yang dilanjutkan sehingga pukul 12 malam, Hospital Kluang dan Pejabat Kesihatan Segamat yang dilanjutkan sehingga pukul 9 malam.

“Lanjutan waktu operasi ini membolehkan mereka yang tidak berkesempatan mendapatkan rawatan pada waktu pejabat boleh mendapatkannya waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Penerapan Budaya Korporat Peringkat Negeri Johor, di Hospital Batu Pahat di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohd. Khairi Yakub dan pegawai kesihatan dan pergigian seluruh daerah.

Terdahulu, Robia menegaskan perlunya pegawai dan kakitangan kesihatan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit.

‘‘Ini untuk memastikan tahap penjagaan kesihatan rakyat bertambah baik dan antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Menurutnya, bagi mencapai matlamat itu, semua pegawai dan kakitangan perlu menyemarakkan lagi semangat kerja berpasukan secara lebih profesional.

Selain itu, katanya, mereka juga seharusnya mengikis budaya kurang mesra terhadap pesakit yang masih wujud di beberapa klinik dan hospital kerajaan.

‘‘Berikanlah senyuman kepada pelanggan kita kerana senyuman itu satu sedekah yang mendatangkan pahala kepada kita,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia, 3 April 2009

Halaman ini telah dibaca sebanyak 8868 kali

^ Atas