Thursday, 23 February 2012 | W3C

 
Laman Utama > Johor Online > Komuniti
Jan 17, 2012 - 02:56 PM •    Bookmark and Share

Nestle sasar sumbang 100 kerusi roda

Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestlé) akan meneruskan penganjuran program World Walking Day tahun ini bagi meneruskan hasrat membeli 100 kerusi roda untuk disumbangkan kepada persatuan-persatuan kebajikan yang memerlukan.

Nestlé dalam satu kenyataan berikrar untuk menyumbangkan RM1 bagi setiap kilometer yang dilalui oleh peserta yang mendaftar pada program berkenaan untuk tujuan pembelian kerusi roda berkenaan.

Bermula Disember tahun lalu, Nestlé sudah memulakan kempen penghantaran kerusi roda berkenaan serta sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Independent Living & Training Centre dan Persatuan Kanak-kanak Spastik di Lembah Klang.

Majlis penyampaian sumbangan bantuan berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Urusannya, Peter Vogt dan Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporatnya, Zainun Abdul Rauf.

Pada 10 Januari lalu, Nestlé turut menyampaikan sumbangan 10 unit kerusi roda beserta wang tunai RM5,000 kepada Persatuan Kanak-kanak Spastik dan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor.

“Sepanjang Januari ini, Nestlé akan terus menghantar kerusi roda kepada rumah-rumah kebajikan yang telah dikenal pasti di seluruh negara sebagai usaha syarikat membantu mereka.

“Dengan sumbangan ini, Nestlé berharap dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang kurang upaya untuk bergerak dengan lebih mudah dan menikmati kehidupan yang lebih bebas,” jelas kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut menyebut, tahun lalu 18,000 peserta menyertai program tersebut dan jumlah itu meningkat 44 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada 20 November tahun lalu, pihaknya telah melaksanakan program berkenaan di enam lokasi, termasuk di Putrajaya, Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Berita ini telah dibaca sebanyak 130 kali