Saturday, 04 February 2012 | W3C

 
Laman Utama > Johor Online > Komuniti
Aug 06, 2010 - 03:28 PM •    Bookmark and Share

Nelayan selesa di rumah baru serba moden

Sumber dipetik dari Utusan MalaysiaNUSAJAYA 5 Ogos - Sebanyak 57 keluarga nelayan di Kampung Pendas Laut mula berpindah ke rumah baru mereka di Kampung Ladang, Tanjung Kupang dekat sini sejak sebulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, setakat ini lebih 60 peratus daripada keluarga berkenaan telah menduduki rumah baru serba moden yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Penempatan berkenaan yang terletak berhampiran jeti Kampung Ladang itu turut dilengkapi dengan surau, taman permainan, lot kedai dan dewan orang ramai.

“Perpindahan adalah berperingkat-peringkat dan mengikut keselesaan penduduk. Setiap keluarga akan diberi RM1,000 sebagai kos perpindahan.

“Penempatan baru ini jauh lebih selesa berbanding di kampung lama mereka yang berstatus setinggan. Kos rumah baru ini melebihi RM200,000 sebuah,” katanya semasa meninjau keadaan penduduk yang telah berpindah semalam.

Sementara itu, Sarina Ismail, 39, mengakui rumah barunya selesa didiami walaupun mempunyai ahli keluarga besar iaitu seramai 10 orang termasuk ibu mertuanya.

“Rumah ini memang selesa walaupun rumah lama dulu pun besar. Terima kasih kerana sediakan rumah yang cantik dan selesa ini,” katanya yang sibuk mengemas rumah kerana baru dua hari berpindah ke situ.

Dia yang membantu suami, Ibrahim Othman, 46, ke laut turut berharap kerajaan terus memberi kemudahan dan menjaga kebajikan penduduk kampung berkenaan.

Shafie Mohamad, 34, yang sibuk membetulkan jaring ketam yang baru dibelinya turut mengakui rumah baru mereka itu amat selesa.

“Saya bersyukur kerana tinggal selesa bersama isteri dan tiga anak di sini. Dapatlah saya tumpukan kepada kerja mencari pendapatan lebih untuk keluarga,” katanya sambil memberitahu memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM30 sehari.

Borhan Azman, 22, pula berharap kerajaan dapat menyediakan gelanggang futsal untuk kegunaan golongan muda di penempatan baru itu.

“Rumah dan kemudahan yang disediakan amat baik cuma golongan muda meminta supaya dapat dibina gelanggang futsal di kampung ini.

“Dengan adanya gelanggang futsal itu, dapatlah golongan muda bermain untuk mengisi masa lapang mereka,” katanya.

Kawasan penempatan penduduk di Pendas Laut akan dimajukan oleh pihak Iskandar Investment Berhad (IIB) dan terletak di wilayah pembangunan Iskandar Malaysia.

Berita ini telah dibaca sebanyak 2232 kali