23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Melakar gagasan 1Malaysia

Ditulis pada 27/10/2009 13:54:00

JOHOR BAHRU 26 Okt. - Gagasan 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak seawal beliau memegang tampuk pemerintahan negara bukan sesuatu bersifat angan-angan.

Malah, ia kini diiringi dengan perubahan demi perubahan yang dilakukan dan gagasan itu semakin diterap dan diterima dalam kehidupan seharian rakyat.

Daripada pemimpin negara sehingga ke peringkat akar umbi, konsep ini sering diuar-uarkan supaya ia dijadikan panduan membentuk bangsa Malaysia yang maju dan berdaya saing.

Pelbagai program dijalankan baik di peringkat kebangsaan mahupun sekolah semata-mata untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai gagasan 1Malaysia.

Baru-baru ini, Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama Sekolah Seni Johor Bahru (SSJB) mengadakan Pameran Seni 1Malaysia bertema ‘Langkah Demi Langkah’ yang melibatkan 110 karya para pelajar Tingkatan 1 dan 2 sekolah berkenaan.

Pameran di Galeri Seni di sini dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri, Sufaat Tumin dan dibuka kepada orang ramai selama sebulan bermula 6 Oktober lalu.

Sufaat dalam ucapannya menyambut baik langkah yang diambil oleh YWJ dan Sekolah Seni Johor Bahru untuk menerapkan definisi gagasan 1Malaysia ke dalam diri para pelajar.

Beliau yakin pameran itu dapat mencapai matlamat dan saranan Perdana Menteri untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan kaum yang selama ini menjadi kekuatan kepada Malaysia.

‘‘Saya amat menggalakkan setiap individu menyertai Perdana Menteri dalam memberikan takrifan mengenai gagasan 1Malaysia dan peranan yang perlu kita mainkan menerusi bidang seni tampak ini.

‘‘Seni tampak atau lukisan juga mampu menjadi medium terbaru dalam mengajak masyarakat menghayati gagasan 1Malaysia ini,” katanya.

Menerusi lukisan, ia dapat membina daya saing positif para pelukis muda dan menyemarakkan semangat kecintaan yang tinggi kepada negara, katanya.

Di samping itu, pelukis juga bebas menggambarkan keindahan dan keunikan budaya selain berperanan sebagai jambatan penghubung antara kaum di Malaysia.

“Setiap karya 1Malaysia yang dihasilkan menuntut pelukis membuat sesuatu kajian tentang budaya dan bangsa. Dengan cara tersebut ia bukan sahaja menambah pengetahuan tetapi dapat melahirkan insan yang lebih terbuka dan positif.

“Terbuka di sini bermaksud para pelajar boleh menerima pandangan tentang sesuatu perkara berkaitan kaum dan mendalaminya melalui perspektif yang berbeza namun masih berlandaskan konsep satu bangsa,” katanya.

Sufaat berkata, menerusi pameran seni seperti itu, para pelukis dan karyawan pelapis di negeri ini dapat mengetengahkan bakat terpendam mereka selain menjadikan lukisan sebagai wadah mencurahkan pendapat.

Usaha tersebut bukan sahaja dapat memelihara warisan budaya bangsa, malah mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali dan disegani di dunia, katanya.

“Namun apa yang lebih penting ialah gagasan dan usaha kesenian yang kita lakukan hari ini dapat menyedarkan masyarakat terutamanya generasi muda bahawa negara kita memiliki keunikan seni dan budaya yang pelbagai,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 27 Julai 2009

Berita ini telah dibaca sebanyak 1033 kali

^ Kembali ke atas