MAINJ bina 70 buah rumah penduduk miskin
Ditulis pada 24/03/2010 10:17:51MERSING 23 Mac - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merancang membina 70 buah rumah untuk golongan yang memerlukan setiap tahun. Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, selain golongan berkenaan, MAINJ turut membina dan membaiki rumah-rumah penduduk jika menerima permohonan daripada mereka.
“Kita berharap orang ramai yang memohon bantuan untuk membina rumah bersabar kerana MAINJ menerima banyak permohonan setiap bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan melancarkan program e-kasih peringkat Kampung Baru, Air Tawar dekat sini kelmarin.
Menurutnya, golongan yang berdaftar dengan e-kasih juga akan dipertimbangkan untuk mendapat kediaman lebih selesa sekiranya membuat permohonan untuk mendapatkan rumah.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Raja Kamariah Raja Omar, 56, bersyukur atas bantuan e-kasih berjumlah RM11,000 untuk membaiki rumahnya.
Dia yang mempunyai seorang anak kurang upaya turut berterima kasih kepada Zainal Abidin yang sudi melawat rumahnya serta menyampaikan sumbangan.
Seorang lagi penerima, Halimah Putih, 56, yang telah menetap di kampung berkenaan lebih 30 tahun berharap mendapat bantuan segera setelah menerima kunjungan Zainal Abidin.
“Saya harap MAINJ sudi memberikan bantuan bulanan kerana dia hanya bergantung kepada sumbangan anak-anak selain terpaksa membelanjakan sehingga RM200 sebulan untuk membeli lampin pakai buang bapa saya yang telah uzur,” katanya.
Che Hawa Abu Bakar, 61, yang menerima bantuan RM350 sebulan daripada MAINJ mengakui terpaksa bekerja menanam sayur-sayuran untuk menyara enam anaknya termasuk seorang yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi tidak lama lagi.
Dia bersyukur kerana bantuan yang diterima mampu meringankan bebanan keluarganya.
Sumber: Utusan Malaysia, 24 Mac 2010


