Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Lambang perjuangan kemerdekaan

Ditulis pada 27/05/2009 15:18:01

JOHOR BAHRU 26 Mei - Taman Merdeka bukan sahaja merupakan sebuah lokasi terbaik untuk bersantai bersama keluarga malah juga memberi banyak informasi mengenai sejarah negara.

Ia dibina bertujuan mewujudkan sebuah taman yang bertemakan Merdeka sebagai lambang kepada semangat patriotik para pejuang kemerdekaan pada zaman dahulu.

Konsep Merdeka yang ada di taman itu diolah dan ditonjolkan melalui catatan-catatan sejarah seperti arca, gambar-gambar dan penerapan ciri-ciri reka bentuk serta sistem bunyi dan cahaya.

“Pembinaan taman ini adalah sebahagian cara kita memberikan pendidikan tentang sejarah pembangunan negara di samping memberi ruang kepada masyarakat untuk beriadah.

“Konsep beriadah sambil belajar merupakan satu kaedah yang baik dan sesuai untuk masyarakat kerana suasana pembelajaran harus menjadi sesuatu yang menarik,” kata Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Johor Bahru, Mohd. Firdaus Abdul Hamid.

Pembangunan fasa kedua Taman Merdeka juga tidak kurang menariknya kerana ditempatkan Laman Peringatan Penentangan Komunis, Laman Peringatan Kedaulatan Raja-raja Melayu, Laman Semarak Kemerdekaan, Laman Malaysia dan Promenade Perarakan Kemerdekaan.

Selain itu, fasa ketiga pembangunan taman itu terdapat Terowong Masa, Kawasan Bancah dan Promenade Perarakan Kemerdekaan sambungan daripada fasa pertama dan kedua.

Mohd. Firdaus berkata, pembangunan Taman Merdeka itu adalah bersesuaian untuk menerapkan nilai-nilai murni serta semangat cintakan negara di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.

“Kita mahukan generasi muda hari ini menghayati sejarah pembangunan negara serta mengetahui pengorbanan masyarakat dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan.

“Penerapan nilai-nilai murni serta semangat cintakan negara merupakan aspek penting untuk mewujudkan masyarakat yang mempunyai semangat jati diri tinggi,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia, 27 Mei 2009

Halaman ini telah dibaca sebanyak 1474 kali

^ Atas