KTMB rancang binalandasan berkembar Gemas-JB
NUSAJAYA 30 Jun - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merancang melaksanakan projek landasan berkembar di negeri ini iaitu di antara Gemas, Negeri Sembilan hingga ke Johor Bahru dengan anggaran kos RM7.5 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, perancangan pembinaan landasan sejauh 197 kilometer itu ekoran projek landasan berkembar di bawah RMK-9 bagi sektor selatan hanya dilaksanakan sehingga ke Gemas.
“Turut termasuk dalam perancangan itu adalah pembinaan untuk menggantikan jambatan atau lintasan baru jalan kereta api di Jalan Abad, Taman Abad, Jalan Kebun Teh, Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu dan Jalan Tampoi di Kampung Ungku Mohsin.
“Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai perancangan tersebut tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pengangkutan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU),” Katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Adam Sumiru (BN-Tanjung Puteri) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai perancangan menjadikan Gunung Belumut, Kluang sebagai destinasi pelancongan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seong Chang memberitahu, kerajaan negeri sentiasa meningkatkan usaha dari semasa ke semasa bagi mempromosikan gunung berkenaan.
Menurutnya, kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan Gunung Belumut yang merupakan gunung tertinggi di Kluang dijangka siap sepenuhnya hujung bulan depan.
“Kini kerja-kerja baik pulih gunung berkenaan dengan melibatkan kos RM2 juta sudah 95 peratus siap.
“Selepas ia selesai sepenuhnya, pihak pemaju akan serahkan kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk menentukan masa yang sesuai untuk dibuka kepada orang ramai,” katanya menjawab soalan R.Vidyananthan (BN-Kahang).
Seong Chang berkata, sehingga kini terdapat lapan calet, 16 unit bilik penginapan, empat tandas awam, enam unit medan selera, 50 unit tapak perkhemahan dan pondok rehat dataran disediakan bagi kemudahan pengunjung.
Katanya, bagi menggiatkan lagi usaha promosi di gunung itu, kerajaan negeri melalui Majlis Tindakan Pelancongan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kluang dan Jabatan Perhutanan negeri telah mengadakan aktiviti dan program ekopelancongan dan merancang akan menganjurkan acara bertaraf antarabangsa.
Sumber: Utusan Malaysia, 1 Julai 2009
Berita ini telah dibaca sebanyak 784 kali
