Kerajaan Johor tawar pekerjaan baru
JOHOR BAHRU 24 Feb. – Kerajaan Johor mengambil langkah segera dengan menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada para pekerja tempatan yang diberhentikan majikan akibat kelembapan ekonomi global.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, M. Asojan berkata, daripada 704 pekerja tempatan yang diberhentikan sejak Januari hingga 16 Februari lalu, 309 orang pekerja tempatan telah ditawarkan pekerjaan di pelbagai sektor.
Asojan berkata, ini bermakna hampir 50 peratus pekerja tempatan yang diberhentikan telah diberi peluang pekerjaan bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan.
“Sebanyak 415 pekerja lagi kita tawarkan mereka menjalani skim latihan iaitu mereka yang menghadiri skim itu akan diberi elaun RM300 di samping latihan dan kemahiran baru.
“Kita sediakan sebanyak 99 pusat latihan yang mana 44 daripadanya anjuran kerajaan manakala 45 swasta dan mereka boleh mendaftarkan diri supaya mereka boleh bekerja di sektor pekerjaan baru,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berhubung kira-kira 3,000 pekerja termasuk tempatan asing terjejas akibat kelembapan ekonomi global, baru-baru ini.
Asojan berkata, daripada 415 pekerja berkenaan telah dirujuk ke agensi-agensi yang memberi peluang perniagaan dan sehingga kini tiga orang telah menjadi usahawan.
“Inilah komitmen besar dan langkah proaktif kerajaan negeri dalam menangani masyarakat tempatan yang diberhentikan kerja.
“Bagi pekerja asing dalam tempoh yang sama sebanyak 1,060 telah diberhentikan dengan melibatkan 33 majikan. Bagi mereka ini kita tidak ada jalan lain kecuali menghantar balik ke negara asal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada mereka yang diberhentikan kerja oleh majikan masing-masing agar segera mendaftar ke lima Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran iaitu di Segamat, Kluang, Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru.
Sumber: Utusan Malaysia, 25hb Februari 2009
Berita ini telah dibaca sebanyak 68966 kali