Saturday, 11 February 2012 | W3C

 
Laman Utama > Johor Online > Pelancongan
Nov 21, 2008 - 10:27 AM •    Bookmark and Share

Jeti daya tarikan baru pengunjung

BATU PAHAT: Jeti nelayan tradisional yang terdapat di kawasan kampung berhampiran pantai dan tebing sungai di Kampung Parit Sulong berpotensi dijadikan sebagai daya tarikan baru pengunjung luar ke daerah ini.

Kedudukannya yang mengadap laut atau sungai menjadikannya lokasi sesuai untuk orang ramai bersantai sambil menikmati hidangan makanan laut.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, berkata banyak jeti nelayan di kawasan itu yang boleh dinaik taraf dan dipelbagaikan peranannya.

Beliau berkata, jika jeti nelayan itu diubah menjadi pusat tumpuan ramai, ia akan membantu keluarga nelayan menambah pendapatan dengan membuka gerai makanan atau menjual pelbagai barangan di jeti berkenaan.

“Selepas meninjau jeti nelayan di sini, saya percaya ia boleh dimajukan untuk membantu industri pelancongan tempatan, kerana kedudukan jeti nelayan di sini cukup menarik dan memang boleh menggamit kehadiran orang ramai jika ia dinaik taraf.

“Jeti nelayan tidak seharusnya dibiarkan berterusan menjadi tempat pendaratan ikan atau tempat nelayan menyimpan bot saja, tetapi kita harus mencari kaedah untuk mengubahnya seterusnya membantu masyarakat nelayan menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat jeti nelayan yang semakin usang di Kampung Parit Kuda, Semerah, baru-baru ini.

Jeti berkenaan menjadi tempat penyimpanan pelbagai peralatan menangkap ikan serta tempat pendaratan ikan kira-kira 30 nelayan di kampung berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

Noraini berkata, beliau akan meminta agensi kerajaan yang berkaitan untuk meneliti pendekatan sesuai untuk mengubah wajah jeti nelayan tradisional di kawasan Parit Sulong itu.

“Saya akan mencadangkan kepada agensi terbabit untuk membina tempat beristirahat atau pusat makanan laut di jeti nelayan tradisional.

“Banyak jeti nelayan tradisional di Parit Sulong, selain di Kampung Parit Kuda ini dan kita akan meneliti di mana paling sesuai untuk kita bangunkan menjadi salah satu kawasan daya tarikan pengunjung,” katanya.

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 20 November 2008, Khamis

Berita ini telah dibaca sebanyak 7193 kali