Jeti Baru Akan Dibina Di Pulau Pisang
Pontian, 20 Jan: Sebuah jeti bernilai RM6 juta akan dibina oleh Kerajaan Negeri di Pulau Pisang yang terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar Pontian.
Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata kos yang besar diperlukan kerana jeti yang bakal dibina itu perlu panjang sehingga sampai ke perairan yang boleh berfungsi walaupun air surut.
“Dengan adanya jeti baru ini ia akan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke sana,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan Parlimen Tanjung Piai, baru-baru ini.
Abdul Ghani berkata, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk membangunkan pulau seluas 180 hektar itu dengan pembangunan yang sesuai sebagai kawasan pelancongan sejarah.
Kerajaan Negeri mungkin akan membina sebuah pusat penerangan di pulau berkenaan untuk rujukan pengunjung.
Mengulas mengenai operasi rumah api yang dikendalikan oleh kerajaan Singapura di pulau itu, Abdul Ghani berpuas hati kerana urusan imigresen pekerja yang mengendalikannya sentiasa dipatuhi.
Sumber : Pejabat Menteri Besar Johor
Berita ini telah dibaca sebanyak 1299 kali