Jalan-Jalan Kampung Di Johor Akan Dinaiktaraf
Ditulis pada 24/03/2010 10:23:46PARIT SULONG, 19 Mac: Kerajaan Negeri akan menaiktaraf jalan-jalan kampung di seluruh Johor sebagai langkah memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan luar bandar.
Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman berkata, terdapat kira-kira 6,000 kilometer jalan-jalan kampung di Johor. Daripada jumlah itu, hampir separuh daripadanya dibina oleh kerajaan negeri melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), manakala selebihnya dibina oleh kerjaan pusat melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW).
Katanya, kesemua jalan kampung yang dibina KPRJ 14 tahun lalu masih berkeadaan baik sehingga ke hari ini kerana sering diselenggara melalui peruntukan tahunan berjumlah RM30 juta
“Bagaimanapun, sebahagian jalan-jalan kampung yang dibina oleh KKLW sudah rosak dan perlu penyelanggaraan, naiktaraf, atau dibina semula,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerjanya ke Parlimen Parit Sulong, di sini, semalam.
Katanya, untuk mengelakkan masalah itu daripada membebankan penduduk, kerajaan negeri akan menyelenggara jalan-jalan kampung termasuk yang dibina oleh kerajaan persekutuan.
Pada sidang media yang sama, Abdul Ghani berkata, kerajaan juga akan memperluaskan penggunaan effective microorganism (EM) di Johor bukan sahaja sebagai baja untuk tanaman, tetapi juga sebagai bahan untuk meningkatkan kualiti air di sungai dan parit serta bagi mengurangkan pembiakan lalat.
“Kita yakin kaedah ini akan berjaya kerana daripada apa yang telah dilaksanakan di beberapa sungai di negeri ini, ia terbukti berkesan dalam meningkatkan kualiti airnya,” katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran EM melalui industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menampung keperluan terhadap bahan itu yang semakin meningkat.
Turut hadir pada lawatan itu ialah Ahli Parlimen Parit Sulong, Dato’ Noraini Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Latif Yusof; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan.
Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Menteri Besar


