Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Industri inap desa makin pesat

Ditulis pada 29/10/2009 09:49:00

JOHOR BAHRU 28 Okt. - Sektor pelancongan domestik negeri ini semakin pesat berkembang dengan Inap Desa Felda Semenchu di Kota Tinggi mencatatkan kedatangan 3,625 pelancong sejak Januari hingga Julai lalu.

Pengarah Tourism Malaysia Johor, Noridah Kamarudin berkata, jumlah itu merupakan yang tertinggi berbanding 14 inap desa lain di sekitar negeri ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah pelancong inap desa di negeri ini berjumlah 6,654 orang sepanjang tujuh bulan tahun ini.

“Saya percaya Inap Desa Felda Semenchu akan terus menjadi pilihan utama pelancong luar negara pada tahun akan datang.

“Namun saya yakin 14 inap desa lain bakal memberi persaingan sihat antara satu sama lain dalam usaha menonjolkan keistimewaan dan keunikan di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Noridah berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada industri inap desa berdasarkan potensi yang menggalakkan bagi menjana pendapatan dalam sektor pelancongan domestik.

Menurut beliau, ini kerana jumlah pelancong sama ada di kalangan pelancong tempatan dan asing semakin meningkat dari hari ke hari terutama pada musim cuti sekolah.

“Apa yang membanggakan, minat pelancong luar untuk mengetahui keistimewaan negara ini turut meningkat secara mendadak menerusi kempen dan promosi yang dijalankan secara agresif.

“Inilah kelebihan yang terdapat di Johor dan Malaysia amnya kerana suasana yang aman, rakyat yang peramah, budaya yang pelbagai selain makanan yang enak hasil kehidupan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya sentiasa menggalakkan pengusaha inap desa untuk menampilkan kekuatan masing-masing agar tiada pengusaha yang ketinggalan agar semua pihak dapat berkongsi hasil daripada kepesatan industri itu.

Sumber: Utusan Malaysia, 29 Oktober 2009

Halaman ini telah dibaca sebanyak 16255 kali

^ Atas