23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Imam disaran tingkatkan ilmu

Ditulis pada 02/04/2010 15:24:52

MERSING 1 April - Para imam di daerah ini disaran meningkatkan ilmu serta memperbetulkan teknik bacaan al-Quran bagi mengelakkan kesilapan semasa mengimamkan solat.

Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Mersing, Zakaria Tahir berkata, sebutan ayat dan tajwid yang tepat terutamanya bagi bacaan wajib amat penting supaya ibadat diterima Allah SWT.

Beliau berkata, sebagai imam, mereka juga sentiasa menjadi perhatian dan rujukan masyarakat dalam segala aspek.

Justeru katanya, para imam perlu mendalami ilmu tajwid dan ilmu lain bagi membolehkan masyarakat setempat menjadikan mereka sebagai contoh dan sumber rujukan.

“Baiki dan mantapkan mutu bacaan agar kita dapat menghayati isi kandungan yang terdapat di dalam al-Quran di samping dapat meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Menurutnya, ilmu dan kemahiran boleh diperoleh daripada pelbagai kelas bimbingan dan kursus yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Mersing.

“Selain itu, golongan imam juga perlu mencari inisiatif sendiri bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dengan memperbanyakkan bacaan buku dan kitab yang boleh didapati di pejabat tersebut atau yang berada dalam pasaran,” katanya.

Zakaria turut menggesa pihak pentadbiran masjid supaya sentiasa berbincang dengan imam bagi mencari kaedah yang sesuai untuk mengimarahkan masjid dan surau di daerah ini.

“Banyakkan program yang boleh diatur seperti kelas bimbingan fardu ain, kuliah Maghrib dan bacaan Yasin untuk mengimarahkan masjid di samping dapat menjadikan rumah Allah ini sebagai pusat perkembangan ilmu,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 2 April 2010

Berita ini telah dibaca sebanyak 1413 kali

^ Kembali ke atas