Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Hari Gawai di Johor meriah

Ditulis pada 04/06/2009 11:51:01

JOHOR BAHRU 3 Jun - Hari Gawai Dayak merupakan satu perayaan yang disambut oleh beberapa etnik seperti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu pada setiap 1 dan 2 Jun.

Perayaan tersebut disambut sebagai hari kesyukuran selepas musim menuai dan mengikut laman web Wikipedia, ia mula disambut secara besar-besaran sejak 25 September 1964 apabila Gawai Dayak diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi di Sarawak.

Semasa perayaan Gawai Dayak, beberapa upacara dijalankan khususnya di rumah panjang yang menjadi penempatan kaum Dayak.

Malah, kini walaupun kaum Dayak sudah ramai yang menganut agama Kristian, namun ia tetap diraikan sebagai acara kebudayaan, bukan lagi keagamaan dengan beberapa penyesuaian dilakukan seperti tidak lagi menjalankan upacara ritual seperti miring.

Namun bagi kaum Dayak yang masih berpegang kepada kepercayaan nenek moyang (animisme), upacara miring satu kemestian untuk meminta berkat daripada dewa-dewa supaya hasil tanaman pada musim penanaman berikutnya lebih baik.

Pada sambutan ini, kebanyakan kaum Dayak yang bertugas di bandar atau negeri-negeri lain akan pulang ke kampung masing-masing untuk berkumpul dan bertemu sanak saudara.

Bagaimanapun, bagi golongan yang tidak dapat pulang ke kampung halaman di Sarawak seperti yang bekerja di Johor dan Singapura, mereka tetap meraikan sambutan Gawai Dayak dengan sederhana tetapi tetap meriah.

Malah, amalan ‘ngabang’ atau kunjung-mengunjung tetap dilakukan pada pagi Hari Gawai.

Biarpun bukan berada di Bumi Kenyalang, sambutan Hari Gawai Dayak oleh segelintir penduduk kaum Iban di Taman Megah Ria, Pasir Gudang, dekat sini tetap meriah.

Malah bagi penduduk di taman berkenaan, sambutan kali ini lebih meriah berbanding dahulu apabila mereka diraikan dalam satu majlis anjuran Persatuan Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia (GAIU).

Pengerusinya, Sai Malaka berkata, sambutan yang diadakan di sini tidak jauh bezanya dengan sambutan di Sarawak.

Katanya, biarpun sambutannya tidak sehebat di Sarawak, kemeriahannya tetap ada.

‘‘Kita juga mengadakan tarian ngajat dan pertandingan Kumang Gawai (pertandingan ratu cantik) sama seperti sambutan di sana.

‘‘Kita cuba untuk menjadikan sambutan ini semeriah yang mungkin kerana ia adalah satu penghargaan kepada penduduk taman yang tidak pulang ke Sarawak,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, sambutan tersebut turut diserikan dengan pertandingan tarian ngajat yang disertai oleh penduduk setempat terutamanya golongan remaja.

Kesemua mereka tampil dengan memperagakan pakaian tradisional masyarakat Sarawak yang turut dihiasi perhiasan perak.


Sumber: Utusan Malaysia, 4 Mei 2009

Halaman ini telah dibaca sebanyak 2181 kali

^ Atas