FAMA buka 50 Pasar Komuniti
Ditulis pada 09/11/2011 11:42:25JOHOR BAHRU 8 Nov. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membuka sebanyak 50 Pasar Komuniti di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Ketua Pengarah FAMA, Ab. Razak Ab. Majid berkata, sebagai permulaan, mulai tahun ini dan tahun depan, pihaknya akan membuka sebanyak 20 pasar itu di beberapa kawasan di seluruh negara.
Menurutnya, pada tahun ini, sebanyak tiga Pasar Komuniti telah beroperasi sepenuhnya iaitu di Mersing, Johor, Setiawan, Perak dan Kota Belud, Sabah, manakala tahun depan sebanyak 17 lagi akan dibuka.
Beliau berkata, di Johor selain Pasar Komuniti Mersing, pihaknya akan buka pasar yang sama di Parit Raja, Batu Pahat dan dua di bandar raya ini iaitu di Jalan Datin Halimah dan Kempas.
“Menerusi pasar ini, konsep kita adalah membolehkan para usahawan berniaga setiap hari dan bukan bermusim dengan setiap sesi melibatkan sebanyak 100 peniaga.
‘‘Ini bermakna, ruang niaga yang kita sediakan membolehkan ia dimanfaatkan dari pagi hingga ke malam iaitu pasar pagi dan pasar petang hingga ke malam dengan para peserta yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban Pemasar Fama 2011 di Tapak Pasar Tani Jalan Datin Halimah, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Faridulatrash Md. Mokri dan pada majlis itu sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan.
Dengan adanya Pasar Komuniti, Ab. Razak yakin pihaknya boleh menyelesaikan masalah kerja-kerja kebersihan yang sering dihadapi pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana peniaga yang selama ini bertaburan di pasar malam atau pasar lambak dapat ditempatkan di satu kawasan yang lengkap dengan kemudahan prasarana.
“Ini bermakna para peniaga terbabit dipertanggungjawabkan menjaga kebersihan selepas menjalankan perniagaan bagi membolehkan peniaga sesi kedua memulakan perniagaan pada sesi petang.
“Kami yakin usaha yang dilakukan oleh FAMA dengan kerjasama PBT akan memberi faedah yang besar kepada peniaga dan usahawan terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Ab. Razak memberitahu, FAMA juga sedang memperbanyakkan pembinaan pasar tani kekal di seluruh negara seperti yang diwujudkan di Bukit Gambir, Muar, Jengka dan Jerantut, Pahang dan Guar Chempedak, Kedah.
Pihaknya juga sedang membangun dan membaik pulih Pasar Satok di Sarawak untuk menjadikannya sebagai Medan Niaga Satok supaya semua peniaga menjalankan perniagaan masing-masing di bawah satu bumbung.
Sumber: Utusan Malaysia


