23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Dua bintang golf sertai program tanam pokok

Ditulis pada 17/11/2011 10:54:11

Dua pemain golf profesional yang menyertai kejohanan Iskandar Johor Open (IJO) 2011 kali ini, mengisi masa terluang untuk menyertai program Tree for Tee anjuran UEM Land di Taman Wilayah Nusajaya di sini hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Abdullah Wan Ibrahim berkata, kesanggupan pemain berasal dari Thailand, Thongchai Jaidee dan Henrik Stenson dari Sweden turut serta dalam program itu amat dihargai.

Jelasnya, program hijau itu adalah antara usaha tanggungjawab sosial korporat pihaknya dalam mempromosi kelestarian alam sekitar pada tahun kelima kerjasama dengan IJO.

“Secara peribadinya saya merasakan penanaman pokok adalah ibarat menyemai harapan generasi akan datang. Ia boleh disamakan dengan mewujudkan peluang kepada anak-anak kita untuk menikmati apa yang kita miliki dengan harapan mereka akan terus memeliharanya serta meneruskan kitaran ini.

“Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan dalam apa jua yang dilakukan, kita tidak mengabaikan tugas sebagai khalifah dalam mengurus alam semula jadi dan sumber,” katanya pada pelancaran program tersebut.

Wan Abdullah berkata, UEM Land akan terus menganjurkan aktiviti seumpama itu pada masa depan sebagai inspirasi kepada pemegang saham dan orang ramai untuk memulakan tabiat hijau serta meminimumkan impak negatif terhadap alam semula jadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar Perancangan Bandar dan Infrastruktur UEM Land, Rusli Zainal Abidin.

Pada program itu, Thongchai dan Stenson masing-masing menanam pokok jenis pulai dan menyiramnya bersama pengurusan tertinggi UEM Land.

Pada awal tahun ini, syarikat pemaju hartanah itu turut menyambut Hari Hutan Sedunia ke-40 di lokasi sama yang menyaksikan penanaman kira-kira 1,000 pokok hutan sebagai simbol sumbangan negara dalam melindungi dan memelihara alam sekitar.

Pelan Hijau Nusajaya yang dilancarkan pada Disember 2009 menggariskan strategi, pendekatan dan pelaksanaan untuk pembangunan pembangunan secara lestari dan bertanggungjawab dengan berasaskan hasrat mewujudkan keseimbangan praktikal terbaik antara ekonomi, sosial dan pertimbangan alam persekitaran.

Sumber: Utusan Malaysia

Berita ini telah dibaca sebanyak 603 kali

^ Kembali ke atas