23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Berpotensi jadi destinasi bertaraf dunia

Ditulis pada 28/10/2009 12:20:00

MERSING 27 Okt. - Pulau Rawa memiliki potensi besar untuk dimajukan sebagai salah sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia kerana keindahan alam semula jadinya yang tersendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Rawa Safaris Sdn. Bhd., Azhar Ahmad (gambar) berkata, pulau itu sememangnya dikenali ramai sebagai syurga pelancongan dan tidak dinafikan bilangan pelancong yang datang saban hari semakin bertambah.

Beliau berkata, konsep percutian eksklusif dan santai menjadikannya sebahagian daripada pilihan para pelancong asing terutama dari Eropah untuk bercuti.

‘‘Melalui promosi yang berterusan dan konsisten, Pulau Rawa mampu berdiri sebaris dengan pulau-pulau lain di peta pelancongan dunia.

‘‘Keadaan geografinya yang menarik dan kemudahan prasarana yang sentiasa ditambah baik menjadikan Pulau Rawa sebuah destinasi pelancongan yang hebat,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Pulau Rawa merupakan sebuah pulau yang diklasifikasikan sebagai salah satu ikon pelancongan Johor kerana memiliki kecantikan alam semula jadi tersendiri dan memiliki konsep eko-pelancongan yang mencapai tahap piawaian antarabangsa.

Azhar berkata, Pulau Rawa sudah mula dibangunkan sejak tahun 1970 dan terus dimajukan sehingga ke hari ini dengan penambahbaikan dari segi kemudahan untuk para pengunjung.

Beliau berkata, pembangunan di pulau itu diteruskan sehingga ke hari ini bagi membolehkan suasana percutian eksklusif diwujudkan kepada para pelancong.

“Pada sekitar era 1970-an, 100 peratus pelancong yang datang ke pulau ini adalah pelancong asing dan ada di antara mereka masih lagi datang ke sini untuk bercuti.

“Kebanyakan mereka yang datang ke sini merupakan agen pengiklanan kami kerana mereka akan membantu membawa lebih ramai kenalan pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 28 Oktober 2009

Berita ini telah dibaca sebanyak 1375 kali

^ Kembali ke atas