Bazar JB tumpuan ramai
Ditulis pada 10/11/2009 11:58:01JOHOR BAHRU 9 Nov. - Program Bazar Johor Bahru (Bazar JB) pada waktu malam yang mula diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sejak awal tahun ini, merancakkan lagi aktiviti perniagaan di kawasan itu.
Ia sejajar dengan tujuannya untuk membuka peluang baru kepada orang ramai yang berminat berniaga kecil-kecilan tetapi tidak mengetahui lokasi sesuai untuk membuka tapak perniagaan.
Para peniaga hanya dikenakan caj pembayaran kupon yang berpatutan iaitu RM5 setiap malam dan mereka yang berminat menyertai program itu hanya perlu mempunyai lesen perniagaan.
Apa yang menarik, dengan caj yang tidak membebankan itu serta kemudahan yang dinaik taraf, ia mampu untuk menarik lebih ramai peniaga sekali gus memeriahkan suasana Bazar JB.
Selain itu, program berkenaan dilihat menjadi salah satu usaha MBJB untuk merancakkan kegiatan sosioekonomi warga bandar raya ini bermula pada setiap malam bermula pukul 6 petang hingga 2 pagi.
Dengan lokasinya yang terletak di Legaran Segget, Bazar JB kini mula menjadi tumpuan bagi penduduk tempatan dan pelancong yang ingin membeli barang-barang antik, aksesori dan pakaian atau sekadar menikmati suasana malam di bandar raya ini.
Jika berkunjung ke sana, orang ramai berpeluang mengimbau sejarah lama kerana pelbagai jenis barangan dijual termasuk barangan antik seperti wang serta duit syiling lama yang pernah digunakan pada zaman dahulu.
Malah bagi golongan muda pula, di sinilah juga tempat buat mereka yang ingin mendapatkan pakaian dengan pelbagai fesyen dan barangan elektronik terkini.
Selepas penat berjalan, bagi yang ingin membasahkan tekak atau mengisi perut yang berkeroncong mereka boleh singgah sebentar di gerai makanan yang terdapat di kawasan sekitar.
Namun setiap malam minggu, suasana Bazar JB pasti meriah kerana sesak dengan pengunjung yang mengambil kesempatan membeli-belah pada hari cuti.
Seorang pengumpul wang kertas dan syiling lama, Mastura Mohamed yang membuka tapak di situ berkata, dia gembira kerana Bazar JB semakin mendapat perhatian di kalangan pengunjung tidak kira rakyat tempatan ataupun pelancong asing.
Wanita berusia 41 tahun itu yang mula mengumpul barangan itu sejak umur 10 tahun berkata, kehadirannya di situ kerana dia mahu berkongsi hobi dengan orang ramai.
“Saya sudah berniaga di sini sejak enam bulan lalu dan tujuan utama saya berniaga untuk berkongsi sejarah lama yang mungkin tidak diketahui generasi zaman sekarang.
“Sebenarnya saya seronok dapat bertukar wang dan syiling lama kerana terdapat sesetengah pengunjung turut memiliki wang dan syiling lama yang tidak berada dalam koleksi saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru.
Jelasnya, dia mendapatkan semua koleksi wang syiling itu dari pelbagai negara menerusi pengumpul dan antara koleksinya ialah duit syiling 50 sen yang digunakan pada zaman Malaya sekitar 1941.
Seorang lagi peniaga, Ungku Aziz Ungku Hamid, 50, pula berkata, dia bukanlah seorang peminat barangan antik namun minat mengumpul itu timbul secara perlahan-lahan tanpa dirancang.
Katanya, kesemua barangan berkenaan dikumpul kerana terdapat peminat barangan antik yang menjual kepadanya dan dia pula mula seronok dapat menjual barang-barang berkenaan kepada peminat barangan antik lain.
“Antara barang antik yang terdapat di sini ialah telefon stesen kereta api zaman Jepun, mesin jahit pada tahun 1940, tanduk kerbau dan pelentur buluh klasik.
“Namun barangan antik yang paling mahal dapat saya jual melalui bidaan pengunjung ialah mesin jahit jenama Jerman iaitu Gulf & Hardbeck pada harga RM650,” jelasnya.
Bagi seorang peniaga komputer bimbit, Sari Saibi, 45, berkata, tapak perniagaannya akan dipenuhi dengan pembeli setiap kali hujung minggu dan musim cuti.
“Kalau malam minggu memang agak sibuk kerana terdapat ramai pelanggan yang datang membeli dan ada juga yang sekadar melihat barangan jualan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, 10 November 2009


