53 sertai ekspedisi Laluan Sutera promosi pelancongan negeri
Ditulis pada 27/05/2011 15:57:38JOHOR BAHRU 26 Mei - Seramai 53 orang akan menyertai X’pedisi Laluan Sutera 2011 ke wilayah Xinjiang, China mulai Rabu depan.
Ekspedisi menggunakan 17 kenderaan pacuan empat roda itu menjelajah sejauh 22,000 kilometer dan merentasi beberapa negara seperti Thailand dan Laos sebelum ke China.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hoo Seong Chang berkata, ekspedisi yang bermula dari bandar raya ini menuju ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand, Laos dan China.
Menurutnya, setiba di China, peserta ekspedisi yang terdiri daripada orang perseorangan dan ahli perniagaan itu akan melalui lapan wilayah yang kaya dengan keindahan semula jadi dan terkenal sebagai destinasi pelancongan.
“Apa yang membanggakan kami, usaha yang dilakukan mereka adalah atas inisiatif sendiri dan sepanjang ekspedisi itu mereka akan mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.
“Kita akan bekalkan mereka risalah produk pelancongan yang terdapat di Johor,” katanya selepas pra pelancaran ekspedisi itu, di sini hari ini.
Seong Chang memberitahu, ahli ekspedisi itu ingin mempromosikan produk pelancongan negeri ini sebagai usaha berterusan untuk menarik pelancong ke sini setelah tahun lalu Jabatan Pelancongan negeri membuat promosi secara besar-besaran di luar negara.
Beliau berkata, promosi itu kini menampakkan kesan yang amat baik dan mendorong mereka meneruskan usaha itu kerana potensi besar terhadap kedatangan pelancong China ke negara ini.


