Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

28,000 rumah mampu milik

Ditulis pada 05/09/2013 11:58:00

JOHOR BAHRU 3 Sept. - Kerajaan negeri akan membina sebanyak 28,000 unit rumah mampu milik dengan harga tidak melebihi RM150,000 dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus komited menyediakan rumah seumpama itu untuk rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina di dalam kawasan Iskandar Malaysia manakala selebihnya dibina di kawasan-kawasan lain.

Menurutnya, kajian Suara Hati Johor juga mendapati aspek perumahan merupakan antara fokus utama yang mendapat maklum balas tertinggi berikutan isu kenaikan harga dan pemilikan rumah dihadapi rakyat negeri ini.

“Apabila menyentuh soal perumahan di kawasan bandar, kerajaan negeri menyedari pemilikan kos rumah adalah begitu tinggi dan wujudnya ketidakseimbangan harga tanah yang melambung ke paras tidak sepatutnya.

“Malah, untuk menyewa seunit rumah di kawasan bandar pun memakan belanja besar dan jelas hal ini sudah tentu berat untuk ditanggung oleh keluarga besar, mereka yang baru berkahwin dan yang baru menceburi alam pekerjaan.

“Menyedari hakikat itu, kita mengenal pasti untuk membina 28,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Perumahan Kos Rendah dan Mampu Milik antara Johor Corporation (JCorp) dan kerajaan negeri, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil; Pengarah Urusan Johor Land Berhad, Lukman Abu Bakar; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengarah Eksekutif ISI, Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad.

Dalam majlis sama, anak syarikat JCorp, Johor Land Bhd., turut menandatangani MoA dengan Institute Sultan Iskandar of Urban Habitat & Highrise bagi mengkaji ketidakseimbangan pemilikan hartanah bumiputera dan kewajaran membangunkan projek rumah mampu milik di Iskandar Malaysia untuk digunakan kerajaan negeri dan agensi terlibat.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah proaktif bagi menangani isu perumahan antaranya dengan memperkasa Dasar Perumahan Negeri (DPN) yang menetapkan kuota 40 peratus untuk pembangunan rumah mampu milik bagi perumahan baharu.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan yang gagal membina unit rumah mampu milik walaupun telah mendapat kebenaran merancang.

“Beberapa syarikat pemaju perumahan sudah bersetuju membina rumah mampu milik antaranya JCorp akan membinan 3,600 unit rumah di beberapa kawasan dikenal pasti di sini, UEM Sunrise juga akan membina 10,000 unit di Nusajaya,” katanya.

- Utusan Online

Halaman ini telah dibaca sebanyak 23626 kali

^ Atas