270 penuntut IPT sertai Ukhuwah
Ditulis pada 09/11/2011 11:40:23JOHOR BAHRU 8 Nov. - Seramai 270 warga institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara mengambil bahagian dalam Program Ukhuwah Perdana Kebangsaan (Upek) kali ke-4 di Kampung Plentong Tengah di sini baru-baru ini.
Program selama empat hari yang melibatkan penuntut dari 52 kolej komuniti, lima politeknik dan enam universiti itu dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Johor.
Penganjurannya mendapat kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Biro Kebajikan UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Antara pengisian program itu ialah menjadi anak angkat kepada 44 buah keluarga, membersih dan mengindahkan kampung, pemasangan pendawaian elektrik dan paip air untuk 10 buah rumah, kursus pendek kemahiran hidup dan sukaneka.
Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sambil disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Prof. Madya Kamarudin Kasim dan Pengarah Kolej Komuniti Pasir Gudang, Jahabar Jainul Abideen.
Mohd. Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, antara tujuan utama program itu ialah mempromosikan kolej komuniti kepada masyarakat setempat.
Katanya, ia juga akan mendedahkan penuntut kepada proses merancang dan menguruskan pelbagai aktiviti secara praktikal selain mempraktikkan kemahiran sedia ada.
“Selain membentuk pembinaan jasmani, emosi dan rohani, aktiviti seperti ini juga memupuk semangat kewarganegaraan, kesetiaan kepada bangsa dan negara.
“Ia juga dapat memperkembangkan kreativiti dan inovasi pelajar berteraskan modul pengajaran dan pelajaran di tempat mereka belajar kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Jahabar Jainul berkata, program itu akan mendedahkan kehidupan penduduk setempat kepada peserta Cina dan India termasuk dari Sabah dan Sarawak.
“Semuanya ini mampu membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni, saling bertoleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia


