23 May 2012 · Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

200 belia jayakan Kembara UTM

Ditulis pada 19/09/2011 13:59:37

Seramai 200 belia termasuk 80 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjayakan program Kembara UTM sempena Festival Konvokesyen ke-47 yang singgah di enam lokasi sekitar ibu negeri ini hari ini.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, program sehari yang bermula pukul 9 pagi itu mendapat kerjasama daripada Gerakan Belia 4B Malaysia Johor dan beberapa persatuan di negeri ini.

Beliau yang diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajudin Ninggal berkata, kesemua peserta akan menyertai misi kembara berkenaan dengan menaiki 30 buah kenderaan pelbagai guna (MPV), Proton Exora daripada Kelab Exora dan 20 motosikal berkuasa tinggi daripada Putra Bikers.

“Program kembara ini adalah kali pertama diadakan sebagai wadah mempromosi festival konvokesyen yang akan diadakan pada 21 hingga 28 September ini. Malah, mereka yang mengikuti program ini juga terdiri daripada sekretariat festival.

“Program ini juga menjadi serampang dua mata pihak universiti bagi mempromosikan UTM kepada masyrakat dan memudahkan mereka untuk mengenali universiti penyelidikan ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan peserta kembara di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Belia 4B Johor, Syahrin Md. Jamaludin yang turut serta dalam kembara tersebut berkata, penglibatan golongan belia dalam program tersebut adalah bagi memasyarakatkan mahasiswa dengan penduduk setempat.

Katanya, enam lokasi yang dipilih iaitu pusat beli-belah Angsana, Kota Raya, @Mart, Skudai Parade dan Taman Daya merupakan kawasan tumpuan orang ramai tambahan pula pada hujung minggu seperti hari ini.

Ujar Syahrin lagi, kerjasama antara UTM dan Gerakan Belia 4B mampu mewujudkan perkongsian bestari dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Di setiap perhentian, kita akan mengedarkan risalah berkenaan program UTM dan Gerakan Belia 4B iaitu Kahwin-Kahwin 1Malaysia yang akan diadakan bermula 29 September ini.

“Malah, kami juga akan mengadakan sesi kuiz dengan orang ramai berkenaan dengan UTM dan gerakan belia. Selain menjadikan kembara lebih menarik ia mampu memberi pengetahuan am kepada orang ramai,” katanya.

Berita ini telah dibaca sebanyak 714 kali

^ Kembali ke atas