1Malaysia Tidak Sama Dengan Malaysian Malaysia
Ditulis pada 02/04/2010 15:25:41JOHOR BAHRU, 31 Mac: 1Malaysia adalah satu gagasan yang berpaksikan kepada Perlembagaan Negara dan sama sekali tidak sama dengan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh pembangkang.
Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata asas kepada Gagasan 1Malaysia adalah perpaduan rakyat dalam konteks kepelbagaian, sekali gus memastikan keadilan sosial tercapai.
“Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ini tidak sama dengan sistem pengasingan yang pernah diamalkan oleh Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.
“Ia juga bukan asimilasi kaum seperti yang diamalkan di Indonesia dan Thailand kerana di Malaysia kita menerima, menghormati dan meraikan kepelbagaian dalam masyarakat,” katanya pada majlis Penjelasan 1Malaysia: Perspektif Perdana Menteri anjuran Kerajaan Negeri dan Jabatan Penerangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, semalam.
Jelasnya lagi, gagasan 1Malaysia adalah untuk kebaikan rakyat negara ini kerana semangat perpaduan yang wujud di kalangan mereka sangat penting dalam usaha membantu negara ke arah negara maju menjelang 2020.
Pada majlis sama, turut berlangsung satu ceramah 1Malaysia:Perspektif Perdana Menteri yang disampaikan oleh setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.
Hadir Sama ialah Speaker Kerajaan Negeri, Dato’ Ali Hassan; barisan Exco dan kira-kira 2,000 hadirin termasuk penjawat awam serta ahli beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Sumber : Laman Web Rasmi Pejabat Menteri Besar


