Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

15,000 jawatan kosong di Johor

Ditulis pada 17/03/2011 13:38:48

JOHOR BAHRU 16 Mac – Kira-kira 15,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pelbagai sektor di negeri ini boleh direbut oleh mereka yang masih tercari-cari kerjaya yang sesuai.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri, K. Sritharan berkata, kekosongan itu turut meliputi pekerja am dan operator pengeluaran di sektor pengilangan di sekitar negeri ini.

Sambil menolak lambakan kerja kosong di sini, beliau memberitahu, kekosongan tersebut adalah perkara biasa dan bakal diisi dari semasa ke semasa apabila pihak terlibat menemui calon sesuai.

“Kita turut membantu mereka yang sudah mendaftar dengan jabatan ini untuk mencari atau hendak bertukar pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas perasmian Karnival Kerjaya Dan Program Penempatan Pekerjaan 2011 oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajudin Ninggal di Universiti Teknologi Maklumat (UTM), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Unit Pembangunan Kerjaya UTM, Mohd. Shafiee Mohd Sanip dan Pengurus Pusat JobsMalaysia Johor, Mohd. Syahrul Syahid Mohd. Salleh.

Lebih 2,000 pelajar termasuk orang awam menghadiri karnival tahunan yang dianjurkan oleh UTM dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja dan portal pencarian pekerjaan JobsMalaysia.gov.my.

Mengulas mengenai karnival tersebut, Mohd. Tajuddin berkata, 50 syarikat tempatan dan antarabangsa menyertai program yang diadakan selama dua hari bermula hari ini walaupun dalam keadaan ekonomi tidak begitu baik pada masa sekarang.

Tambahnya, aktiviti tersebut dianjurkan sejajar dengan usaha menyediakan peluang pekerjaan, terutama kepada pelajar yang bakal menamatkan pengajian selain bertujuan memberi pendedahan.

“Kita anggarkan lebih 500 peluang kerjaya ditawarkan pada karnival kali ini, terutama dalam bidang jurutera yang memberi kelebihan kepada pelajar universiti yang dipercayai mempunyai kepakaran diperlukan pihak industri,” ujarnya.

Halaman ini telah dibaca sebanyak 43217 kali

^ Atas