|
UCAPAN Y.A.B. DATO' HAJI ABDUL GHANI BIN OTHMAN MENTERI BESAR JOHOR DI MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-12 KUMPULAN PENDIDIKAN YPJ DI DEWAN PUSAT ISLAM ISKANDAR, JOHOR BAHRU PADA HARI SABTU, 08 OGOS 2009 JAM 9.15 PAGI
Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
1. Alhamdulilah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama meraikan para graduan Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) kali ke-12 pagi ini. Tahniah saya ucapkan kepada kesemua 565 graduan KPYPJ yang berjaya menamatkan pengajian dan menerima diploma dan sijil masing-masing hari ini.
2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa graduan yang turut meraikan kejayaan anak-anak mereka hari ini. Ternyata segala pengorbanan yang tuan-tuan dan puan-puan curahkan selama ini sudah membuahkan hasil.
3. Saya faham bukan mudah untuk menghantar anak-anak belajar di peringkat yang lebih tinggi kerana ia memerlukan pengorbanan wang ringgit yang bukan sedikit dalam memastikan anak-anak dapat menyambung pelajaran dan seterusnya berjaya sebagaimana pada hari ini.
4. Sesungguhnya, tuan-tuan dan puan-puan merupakan ibu bapa contoh yang meletakkan pendidikan anak-anak sebagai keutamaan dalam keluarga dengan memberikan mereka peluang menyambung pelajaran. Syabas saya ucapkan kepada ibu bapa sekalian.
5. Saya merasa bangga kerana sejak KPYPJ ditubuhkan tiga belas tahun yang lalu, ia telah berjaya melahirkan lebih 15 ribu graduan yang kompetitif serta diterima baik dipasaran pekerjaan. Saya percaya penerimaan baik majikan terhadap lulusan KPYPJ ini berkait rapat dengan kepercayaan umum terhadap keupayaan serta kebolehpasaran mereka yang ditanam sejak di peringkat kolej lagi.
6. Saya difahamkan, permintaan kini bukan sahaja datang daripada majikan tempatan malahan telah melangkaui sempadan antarabangsa terutama dari negara-negara Teluk dan rantau Asean sendiri, khususnya bagi bidang berkaitan pelancongan dan hospitaliti. 7. Pakatan strategik yang dijalin oleh KPYPJ bersama institusi pengajian tinggi swasta yang berkemahiran dalam lapangan tersebut baru-baru ini, dilihat mampu meningkatkan lagi permintaan tenaga kerja hasilan institusi ini di pentas global.
8. Saya berharap lebih ramai lagi tenaga kerja mahir institusi ini dapat menembusi pasaran kerja luar negara dan sekali gus mempromosikan KPYPJ.
9. Dalam masa yang sama, saya juga difahamkan terdapat banyak organisasi telah memohon untuk mendapatkan tenaga kerja dari kalangan lepasan KPYPJ untuk diberi latihan dan berkhidmat dengan mereka. 10. Kesemua ini tidak mungkin dicapai tanpa perancangan dan persediaan rapi pengurusan oleh KPYPJ ke arah melahirkan generasi graduan seimbang yang dilengkapi dengan kemahiran kepimpinan, komunikasi, semangat kerja berpasukan dan sebagainya.
11. Berbeza dengan kriteria yang ditetapkan oleh IPTA lain, graduan-graduan terbaik pada konvokesyen KPYPJ tidak sahaja dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, malah turut mengambil kira kecemerlangan dalam lapangan kokurikulum dan daya kepimpinan.
12. Faktor inilah yang saya percaya menjadikan lepasan KPYPJ dan pelajar cemerlangnya menjadi pilihan majikan serta diberi tanggungjawab dan kepercayaan melaksanakan tugasan yang mencabar termasuk yang melibatkan projek multinasional negara.
13. Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada usaha-usaha membangunkan modal insan melalui peranan institusi pengajian tinggi di negeri ini termasuklah di KPYPJ.
14. Ini penting kerana, globalisasi kini menuntut supaya universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi melahirkan graduan berkualiti yang hebat, lengkap, seimbang, berilmu dan berkeperibadian kukuh.
15. Ia juga adalah selaras dengan aspirasi kerajaan ketika ini yang mahu memastikan sistem pendidikan nasional dan aliran agama mampu melahirkan modal insan yang memiliki dan menguasai pelbagai disiplin ilmu pengetahuan, bahasa dan juga kemahiran.
16. Apatah lagi pembangunan pendidikan kini diangkat sebagai satu daripada enam bidang yang diberi perhatian khusus oleh kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini. Sesungguhnya, bidang pendidikan amat penting untuk mencapai sasaran menjadikan Malaysia negara maju selain mewujudkan tamadun bangsa yang cemerlang.
17. Rentetan daripada ini juga, saya ingin mengingatkan para graduan sekalian tentang soal kebolehpasaran graduan yang kini membabitkan tiga faktor yang sering diberi penekanan oleh majikan dan industri, iaitu imej, keterampilan diri serta kemampuan berkomunikasi dengan baik terutama di dalam bahasa Inggeris.
18. Saya berharap apa yang telah dinyatakan ini akan diambil berat oleh saudara-saudari sekalian yang bakal melangkah ke pasaran pekerjaan selepas ini.
19. Saya juga ingin menekankan bahawa pengembangan minda dan pembinaan kemahiran adalah komponen yang amat penting bagi menjamin pembangunan Negeri Johor secara berterusan. Sehubungan itu, perhatian khusus telahpun diberikan kepada mutu serta penyediaan kemudahan pendidikan bertaraf tinggi di negeri ini.
20. Sebagai hub pendidikan serantau, lebih banyak institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan bertaraf antarabangsa, sama ada dari dalam atau luar negara, akan bertapak di Iskandar Malaysia. 21. Justeru, KPYPJ tidak terkecuali daripada turut berada dalam arus perdana ini di mana ia perlu terus kompetitif dan berdaya maju sama ada dari segi penyediaan kemudahan, program pengajian, operasi mahupun pemasarannya. 22. Biarpun saya berpendapat KPYPJ perlu kekal dengan peranan dan tanggungjawabnya sebagai penyedia peluang kedua pendidikan kepada lepasan sekolah dan SPM yang tidak berjaya ke IPTA, namun institusi ini perlu terus berkembang dan membangun mengikut tuntutan semasa.
23. Sehubungan itu, saya mahu pembinaan kampus induk KPYPJ yang dirancang sebelum ini dipercepatkan bagi membolehkan institusi yang telah 13 tahun berjasa dan berada di persada pendidikan tanahair ini terus berdaya saing setanding dengan lain-lain IPTS berprestij di negara ini. 24. Saya berharap segala masalah teknikal yang menjadi halangan kepada kelancaran pembinaan kampus ini dapat diatasi dengan segera bagi membolehkan kerja-kerja pembinaannya dijalankan mengikut jadual.
25. Apabila siap kelak, pengurusan dan pentadbiran KPYPJ bukan sahaja dapat berjalan lancar dan tersusun di bawah satu bumbung, malah akan muncul dengan penampilan yang lebih menarik, kondusif serta mampu menarik kemasukan lebih ramai pelajar.
26. Pelajar pula akan dapat menikmati suasana pembelajaran dan budaya kehidupan di kampus yang lebih menarik dengan pelbagai kemudahan disediakan untuk mereka.
27. Selain itu, saya juga mencadangkan agar KPYPJ turut menjalin kerjasama dengan beberapa institusi milik kerajaan negeri seperti Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dalam perkara-perkara yang melibatkan tenaga pengajar dan juga modul pengajian.
28. Ini kerana KPYPJ dan MARSAH mempunyai persamaan iaitu kedua-duanya menawarkan program-program peringkat diploma pengajian Islam dalam bidang yang pelbagai.
29. Selain MARSAH, kerjasama strategik dengan institusi seperti Yayasan Warisan Johor (YWJ) pula dapat membuahkan hasil jangka panjang andainya KPYPJ berhasrat memperkenalkan bidang seni sebagai salah satu cabang program pengajiannya suatu hari nanti.
30. Secara peribadi, saya berpuashati dengan pencapaian KPYPJ pada masa ini baik dari segi pencapaian akademik pelajarnya mahupun program-program yang dijalankan, di mana lebih 90 peratus daripadanya telahpun mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
31. Saya juga menyarankan agar institusi ini memperkenalkan program-program baru yang boleh menarik lepasan sekolah. Ini termasuklah memperkenalkan beberapa kursus baru seperti seni reka hiasan dalaman yang kini semakin popular.
32. Saya mendoakan agar institusi ini terus cemerlang dan akan muncul sebagai sebuah IPTS yang disegani serta berupaya melahirkan modal insan yang bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran malah menjadi salah satu pendukung utama menjayakan pembangunan negara.
33. Buat para graduan sekalian, saya berdoa semoga anda semua akan berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi dan sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan mempelajari bidang-bidang kemahiran baru yang mampu memberi kelebihan kepada diri anda.
34. Akhir kata, dengan harapan tersebut, dan dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Konvokesyen KPYPJ Kali Ke-12 pagi ini.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|