Utama arrow Muka Hadapan arrow Kuda Kepang : Adunan mistik dan unik

medkom@johor.gov.my

 

KETUA EDITOR
Mohd Sa’odi Mat Atar
EDITOR
Rabiey Besah
WARTAWAN
Aivizanoorwani Shah Shahroni
Hamirul Hairi Mohd Noh
Sofiayana Ellmy Sukor
PEREKA GRAFIK
Azmee Awang
JURUFOTO
Mohd Hairul Abu Bakar
PEMBANTU TEKNIKAL
Azila Harun
 
Unit Media & Komunikasi (Medkom),
Pejabat Menteri Besar Johor,
Aras 3, Kompleks MBSS,
Pusat Pentadbiran Kota Iskandar,
79000 Nusajaya, Johor Darul Ta’zim.
TELEFON 07-266 6366 FAX 07-290 8093
WEB www.pmbj.gov.my
E-MELmedkom@johor.gov.my
 
Mana-mana bahagian penerbitan ini boleh dikeluarkan, dalam apa jua cara, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau lain-lain ,dengan izin Editor. Sidang Editor berhak melakukan penyuntingan ke atas tulisan yang diterima selagi tidak mengubah isinya. Karya yang disiarkan tidak semestinya mencerminkan pendapat dan pendirian holistik. Segala sumbangan karya yang dikirim, sama ada disiarkan atau tidak, tidak akan dikembalikan. Penerbit juga tidak bertanggungjawab atas kehilangan karya yang dikirimkan melalui pos.

 

 
Kuda Kepang : Adunan mistik dan unik Cetak E-mail
ADEGAN penari kuda kepang melompat dari dahan ke dahan dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, dipersembahkan dengan cukup sempurna.

Setiap langkah yang diatur dengan mantap mengikut alunan paluan gong, angklung dan jidur, umpama kuda hendak menerjah ke udara.

Ia meninggalkan kesan sehingga ada yang bertanya apakah benar penari kuda kepang boleh terbang.

Itulah keistimewaan atau lebih tepat, keunikan tarian tradisional ini yang sejak sekian lama diiktiraf berpusat di Johor.

Misteri yang menghiasi latar belakang tarian ini memang sukar untuk dirungkai apatah lagi apabila ada yang mendakwa pernah menyaksikan penarinya memakan kaca dan menanduk buah kelapa.

Fenomena itu sebenarnya tidak mustahil, akui Naim Marjini, seorang penggiat tarian kuda kepang di Semerah, Batu Pahat.

“Tarian ini mempunyai semangat dalaman yang tinggi.
 
“Alunan    rentak muziknya yang amat unik membuatkan penari kuda kepang ini terlalu asyik sehingga boleh membawa mereka ke suatu alam lain,” ceritanya.

Naim yang sudah lebih 50 tahun “mengenali” seni ini berkata, penari kuda kepang yang sudah dikuasai semangat tarian itu akan berada dalam keadaan sawai.

“Mereka tidak akan merasai sebarang kesakitan apabila disebat dengan cemeti dan boleh memakan kaca.

“Dalam keadaan ini, gerakan tarian mereka juga menjadi semakin lincah dan kelihatan seolah-olah sudah bersatu dengan rentak muzik,” jelas ketua Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan Sungai Nibong itu.

Selepas beberapa ketika, katanya, penari-penari ini akan “dipulihkan” oleh mereka yang arif dalam ilmu kebatinan.


Tarian untuk pikat masyarakat
Tarian kuda kepang mempunyai pengaruh latar belakang Jawa yang jelas, bertepatan dengan sejarahnya yang menyatakan bahawa ia berasal dari Jawa Timur.
Ia dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke negara ini dan kekal hingga sekarang tanpa banyak pengubahsuaian.

Naim berkata tarian kuda kepang dicipta oleh Wali Sembilan sebagai tarikan dalam usaha mereka menyebarkan syiar Islam di tanah Jawa.

Peristiwa peperangan yang dilalui Rasulullah SAW dan para sahabat disampaikan dalam bentuk tarian.

Menurutnya, tarian itu mendapat namanya daripada kuda anyaman yang disebut “kepang” dalam Jawa.  Pada awalnya, kuda anyaman yang dikepit di celah kelengkang penari, menggunakan daun pandan tetapi kini ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu.

Kuda kepang juga biasanya hitam dengan bulu tengkuk berwarna kuning dan kebelakangan ini, ada juga yang membalutnya dengan baldu, terutama kumpulan yang kerap membuat persembahan di peringkat lebih tinggi.
Naim berkata untuk membuat satu persembahan, antara 20 hingga 25 orang diperlukan.

“Sembilan adalah penari, lima pemuzik manakala selebihnya adalah “danyang”.

“Penari pula mengatur gerakan mengikut tempo muzik,” jelanya.

“Danyang” adalah penjaga atau gembala kuda kepang yang menggunakan cemeti untuk mengawal gerak tari serta tingkah laku penunggang kudanya, dalam hal ini, si penari.

Naim berkata tempoh sesuatu persembahan bergantung kepada majlis dan suasana semasa berlangsungnya persembahan itu.

Menurutnya, ia mungkin sesingkat 10 minit atau sehingga 40 minit andai persembahan itu sebagai penyeri majlis perkahwinan.

Namun, ada yang mendakwa pernah menyaksikan persembahan maraton yang berlarutan sehingga beberapa jam dan pernah juga berlaku persembahan yang bertahan hanya beberapa minit apabila penunggang kuda berkelakuan liar dan pertunjukan terpaksa dihentikan dengan serta-merta.

Untuk membuat persembahan pula kata Naim, tidaklah boleh diteruskan secara melulu.

“Ada beberapa perkara yang mesti dipatuhi sebelum memulakan persembahan bagi tujuan keselamatan.

“Persembahan di majlis perkahwinan, contohnya, memerlukan tuan rumah menyediakan sedikit “sajen” dalam sebutan Jawa atau sajian yang berupa makanan atau kuih serta bubur merah putih,” katanya

Khusus untuk penari pula ialah sembilan jenis makanan ringan yang berlainan.

Naim berkata larangan bahawa penonton tarian kuda kepang tidak boleh mengenakan pakaian berwarna merah dan merokok kerana dikhuatiri menyebabkan penari hilang kawalan adalah tidak benar.

Mengenai benar atau tidak penari kuda kepang boleh melompat dari dahan ke dahan seperti yang digambarkan dalam filam arahan Suhaimi Baba itu, beliau mengajak mereka yang berpeluang menyaksikan tarian berkenaan supaya tidak melepaskan kesempatan itu.

“Manalah tahu, kita menjadi saksi kepada keistimewaan dan misteri seni ini,” ujarnya.
 
HOLISTIK
 

Penafian :
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Hakcipta Terpelihara © 2006 - 2010 Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh UN IT MEDIA DAN KOMUNIKASI (MedKom), PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR.