Kemudahan W3C · English · Edisi Mobil · Tema Default Theme Red Theme Green Theme Hubungi Kami · Peta Laman · Bantuan

Tarian Tradisional

Ditulis pada 27/12/2013 16:22:45

Tarian Kuda Kepang

Kuda kepang merupakan satu permainan tradisi yang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya yang berketurunan Jawa. Kuda kepang berupa satu patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang dicorakwarnakan untuk menjadi lebih menarik.

Lazimnya satu kumpulan kuda kepang mempunyai 10 hingga 15 orang penari. Salah seorang daripada mereka bertindak sebagai ketua (dayang). Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini.

Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa,Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Dalam peralihan waktu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar.Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.

Pendapat lain pula menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. Seekor kuda kayangan bernama Kuda Sembrani dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Menurut kepercayaan, kuda kepang dikuasai oleh sejenis kuasa ghaib. Lantaran itu, satu upacara khas perlu dilakukan sebelum bermain. Jika ia gagal dilakukan mungkin sesuatu yang tidak diingini akan menimpa para pemain dan juga penontonnya. Upacara ini bermula dengan istiadat memuja roh. Setelah itu bomoh akan menjampi untuk istiadat membuka gelanggang yang biasanya berukuran 40m x 60m.

Bomoh juga akan menyediakan sajian untuk penunggu. Sajian itu ialah kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarum, benang, ayam putih, padi, telur dan bunga rampai. Bilangan minima penari ialah sembilan orang dan maksimanya 15 orang. Penari-penari ini biasanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Tarian dicipta oleh guru yang mengajar kumpulan itu sendiri. Tarian-tarian yang selalu dipersembahkan ialah tarian Sola, Selendang,Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, Mempertahankan Diri dan sebagainya. Lenggang-lenggok di dalam tarian ini dinamakan Lenggang Kiprah.

Satu perkara yang menarik di dalam tarian ini ialah kerana seringnya terdapat beberapa orang penari akan naik syeikh (mabuk) setelah persembahan rasmi tamat. Mereka yang “naik syeikh” ini boleh melakukan gerak geri aneh yang pasti tidak dapat dilakukan dalam keadaan siuman. Umpamanya, melompat setinggi enam atau tujuh kaki, meniti diatas sebatang buluh atau kayu licin ataupun seutas tali, juga mengupas kelapa dengan gigi. Semasa penari-penari sedang “naik syeikh” , bunyi-bunyian pengiring penari akan terus dimainkan. Jikalau tidak mereka naik berang dan menerkam pemain-pemain bunyi-bunyian tersebut.

Apabila gerak langkah penari-penari itu semakin liar dan tidak dapat dikawal, bomoh akan membaca mentera ke ubun-ubun atau telinga mereka setelah mereka ditangkap dan direbahkan oleh pegawal-pegawal yang cekap.Setelah itu mereka akan pulih dalam keadaan letih lesu. Adalah dipercayai bahawa selain dari hiburan, tarian kuda kepang juga boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit ganjil seperti dirasuk hantu,diresapi roh orang mati dan sebagainya.

Dipercayai juga bahawa kuda kepang ini hendaklah diletakkan disuatu tempat khusus.Jika diletakkan di sembarangan tempat roh kuda kepang itu akan mengamuk dan merosakkan pertunjukan-pertunjukan yang akan datang. Alat bunyi-bunyian yang sering mengiringi tarian kuda kepang ialah angklong (alat utama), gendang, gong ( berbentuk bulat dan diperbuat dari gangsa), kinong (seperti gong tetapi lebih kecil), jidor ( seperti rebana besar), soron kecil (dibuat dari tembaga yang dititik supaya melengkung dan lekuk seperti ruas buluh) dan bonang (dibuat dari tembaga,ditengahnya bonjol bulat kira-kira lapan garis pusat). Bagaimanapun tidak semua alat ini digunakan dalam satu-satu tarian. Pemilihannya terletak kepada budi bicara kumpulan-kumpulan berkenaan .Bentuk pakaiannya pula terserah kepada kehendak kumpulan tetapi ia hendaklah seragam.

Tarian Zapin

image

Salah satu bentuk tarian pergaulan masyarakat Melayu yang masih utuh dan popular dewasa ini ialah tari zapin. Dari perspektif sejarah perkembangannya tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar senitari di Malaysia ini telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Namun demikian banyak antara genre zapin tradisional ini tersebar hanya ke daerah-daerah tertentu sahaja dan salah satu daripada genre zapin tradisional yang dinamik dan anggun dikatakan masih terdapat di negeri Johor.

Di Johor zapin yang dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab memperlihatkan perbezaaan dari segi unsur peradaptasiannya. Pada realiti kedua-duanya genre zapin itu berasal dari satu keseniaan masyarakat Arab yang di bawa Hadramaut. Keunikan tradisi Zapin Melayu terletak bukan sahaja pada kesatuan muzik dan peralatannya yang dipengaruhi oleh keseniaan Arab bahkan juga pada sifat segretasi penari dan penonton. Dalam konteks inilah keunikan tarian zapin begitu terserlah terutamanya pada ciri penghubungannya dengan keseniaan Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab. Di Johor Tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam yang berfungsi sebagai hiburan sama ada pada acara-acara sekular mahupun acara sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun ianya lahir dari adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.

Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan di kalangan mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu disamping meminggirkan persaingan antara pemain-pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan, Ditinjau dari perspektif inilah, keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor terserlah.

Tarian Barongan

image

Barongan menggambarkan kisah-kisah di zaman Nabi Allah Sulaiman dengan binatang-binatang yang boleh bercakap. Kononnya, seekor harimau telah terlihat seekor burung merak yang sedang mengembangkan ekornya. Apabila terpandang harimau, merak pun melompat di atas kepala harimau dan keduanya terus menari. Tiba-tiba Pamong (Juru Iring) bernama Garong yang mengiringi Puteri Raja yang sedang menunggang kuda lalu di kawasan itu. Pamong lalu turun dari kudanya dan menari bersama-sama binatang tadi. Tarian ini terus diamalkan dan boleh dilihat terutamanya di daerah Batu Pahat, Johor.

Tarian Ceracap Inai

Tarian ini ada hubungannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, semasa baginda mudik ke hulu Sungai Muar. Tarian ini terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar.

Adalah dipercayai Tarian Ceracap Inai ini berasal dari tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan Pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian.Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai ada unsur-unsur ‘sembah’/Ampun, merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan ‘Raja Sehari’/Pengantin. Ditarikan dengan membawa prob seperti ‘Bunga-bungaan Emas’ dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan. Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja, Bilangan penari biasanya terdiri dari 5 - 8 orang.

Tarian Sarah

Dengan iringan muzik berirama Padang Pasir yang rancak, Tarian Sarah, ditarikan dalam suasana riang gembira. Tarian ini terkenal di kalangan Masyarakat Johor yang berketurunan Arab di Daerah-daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar.

Di Johor, Tarian ini kebiasaannya ditarikan oleh pasangan lelaki sahaja. Mereka menari beriringan dengan gerakan yang sama dan dalam satu tempo lagu berirama Samrah, pasangan penari dapat menari secara bergantian dan ini membolehkan pasangan pertama tadi berehat dan diganti dengan pasangan berikutnya dan demikianlah seterusnya. (Tarian ini boleh juga ditarikan oleh penari wanita tetapi di ruang yang berasingan dan tertutup dan dikhaskan untuk penonton wanita sahaja). Tarian ini juga ditarikan di majlis-majlis keraian dan di majlis-majlis kekeluargaan seperti majlis kesyukuran dan perkahwinan. Tarian ini juga ada kalanya berlarutan hingga jauh malam.

Halaman ini telah dibaca sebanyak 117194 kali

^ Atas